Malaysia Dateline

5 faktor kenapa Umno ditolak oleh pengundi dalam PRU-15

Penganalisis politik dari DAP, Liew Chin Tong menyenaraikan lima faktor yang menyebabkan pengundi akan menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum kali ini.

Kelima-lima faktor itu adalah #Undibanjir, Umno punca ketidakstabilan negara, Umno kurang duit kali ini, perpecahan dalam Umno dan pengundi takut Zahid Hamidi akan menjadi perdana menteri.

Kelima-lima faktor itu, katanya, akan menolak ramalan sesetengah penganalisis yang meramalkan Umno akan kembali berkuasa dalam pilihan raya umum kali ini.

Bahkan, katanya, Umno tidak mendapat sebarang kemajuan dalam kempennya sejak Parlimen dibubarkan 10 Oktober lepas.

“Pengundi sedar ada sesuatu yang tidak kena,” kata bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu.

  1. #UNDIBANJIR

Menurut beliau, pada awalnya, Datuk Seri Ismail Sabri sedar bahawa pilihan raya tidak sepatutnya diadakan di musim tengkujuh.

Namun selepas mendapat tekanan dari Umno untuk menjaga kepentingan pemimpin mereka, Ismail bersetuju dan kini persoalan kenapa pilihan raya diadakan di musim banjir menghantui pemikiran para pengundi.

  1. UMNO PUNCA KETIDAKSTABILAN

Naratif kempen Umno dalam pilihan raya ini adalah negara akan stabil jika Umno diberikan kemenangan besar dalam pilihan raya kali ini.

Namun ia tidak boleh diterima kerana sejak 2008 lagi Umno adalah punca ketidakstabilan negara ini, katanya.

Ia bermula apabila kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih rakyat dijatuhkan oleh Umno. Umno juga yang menjatuhkan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.

  1. UMNO KURANG WANG DAN JENTERA DALAM PRU INI

Ini adalah pengalaman pertama Umno memasuki kempen pilihan raya tanpa mengawal sepenuhnya jentera kerajaan, kata Chin Tong.

Walaupun PM adalah dari Umno, tetapi pegawai kerajaan sangat berhati-hati untuk memihak kepada parti itu.

Tidak ada seorangpun yang pasti Umno akan menang semula dalam pilihan raya kali ini, kata Chin Tong.

  1. PERTEMBUNGAN SENGIT DALAM UMNO

Menurut Liew Chin Tong, pertembungan sengit sedang berlangsung dalam Umno hatta menjelang hari mengundi.

Umno berpecah antara ‘Kluster mahkamah’ dan ‘Kluster menteri’ sejak Langkah Sheraton pada 2020 dahulu lagi.

Zahid mengumumkan akan meletak 70 peratus muka baru dalam pilihan raya ini. Namun Umno dikuasai oleh warload yang mahu kekalkan kuasa.

  1. PENGUNDI BIMBANG ZAHID JADI PM

“Saya belum jumpa lagi sesiapa yang berkata, Zahid boleh menjadi perdana menteri yang baik,” kata Chin Tong sambil berkata, Zahid sendiri gagal menjadi pemimpin Umno yang lebih popular dari Najib.

Kenyataan Zahid semasa Perhimpunan Agung MIC juga mendedahkan sebab sebenar mengapa parti itu mendesak agar pilihan raya diadakan sekarang.

“Saya tidak tolak kemungkinan Zahid sendiri tidak bertanding dalam PRU ini,” kata Chin Tong.

Namun Zahid sendiri mahu menjadi perdana menteri. Dia tidak akan percaya mana-mana pemimpin Umno yang lain untuk membebaskan beliau dari penjara.

“Ini bermakna Ismail Sabri hanya poster boy, tidak lebih dari itu.

“Dengan Umno yang berwajah Zahid, ramai rakyat negara ini akan terus bimbang dan menyebabkan Umno tidak mendapat apa-apa kemajuan selepas Parlimen dibubarkan,” katanya.