Malaysia Dateline

5 ketua Pemuda kawasan AMANAH ibu kota mahu logo PH digunakan

Lima ketua pemuda AMANAH kawasan di Kuala Lumpur meminta supaya logo Pakatan Harapan (PH) digunakan oleh semua parti dalam gabungan itu dalam pilihan raya umum akan datang bukannya logo PKR.

Bagi mereka, konsensus menggunakan logo PH memberi keyakinan kepada masyarakat umum bahawa parti-parti komponen PH terus serasi dan setia dalam cita-cita yang sama mengembalikan mandat rakyat dan membawa keluar Malaysia daripada kesan buruk penularan wabak Covid-19.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani oleh Zulhafiz Zulkifli (Ketua Pemuda AMANAH Lembah Pantai), Anhdeer Supardy Lazuardi (Ketua Pemuda AMANAH Batu), Hafizzuddin Razian (Ketua Pemuda AMANAH Kepong), Mohd Nur Fadhil Ya’cob (Ketua Pemuda AMANAH Bandar Tun Razak)
dan Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar (Ketua Pemuda AMANAH Bukit Bintang).

“Kami membantah sekeras-kerasnya sebarang usul untuk memecahbelahkan semangat setiakawan dalam Pakatan Harapan dengan mencadangkan penggunaan logo PKR berdepan PRU-15,” kata kenyataan itu.

Bagi mereka, parti-parti komponen PH seharusnya mengambil iktibar perpecahan dalaman PH berpunca daripada pengkhianatan sebahagian besar ahli-ahli parlimen daripada PPBM dan PKR yang berkomplot dalam Langkah Sheraton yang merupakan tragedi demokrasi negara Malaysia.

“Sebagaimana kesepakatan yang dipamerkan dalam persetujuan satu logo ketika PH dihalang pendaftarannya pada zaman PRU-14, begitu jugalah kesepakatan yang perlu ditonjolkan dalam menggunakan logo PH yang kini sah berdaftar dengan ROS.

“Kami juga menggesa ahli-ahli parlimen AMANAH, DAP dan PKR yang tidak terlibat dalam episod pengkhianatan rakyat ini kekal dalam kesatuan Pakatan Harapan dan teguh dengan prinsip untuk berjuang membela nasib rakyat daripada kebejatan kerajaan tebuk atap Perikatan Nasional dan Barisan Nasional,” kata kenyataan itu.

Isu ini bermula apabila Pemuda PKR melalui konvensyen mereka mencadangkan agar logo PKR yang pernah digunakan dalam PRU 14 lalu digunakan dalam PRU 15 nanti oleh semua parti komponen PH.

Ketua Pemuda DAP, Howard Lee telah tidak bersetuju dengan cadangan itu dan mahukan logo PH digunakan.

Namun begitu, Ketua Pemuda PH yang juga Ketua Pemuda AMANAH Shazmi Munir sedia untuk berbincang soal itu dan meminta keputusan dibuat secara bersama di kalangan pimpinan PH.