Malaysia Dateline

5 NGO mahu Nik Zawawi disekat masuk Sarawak

Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa agar Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg agar menyekat Ahli Parlimen Pasir Putih, Datuk Nik Mohammad Zawawi memasuki negeri ini.

Menurut Setiausaha Persatuan Adat Asal Bidoyoh Alim Mideh, kenyataan Nik Mohammad berkaitan kitab injil semasa Sidang Dewan Parlimen baru-baru ini adalah tidak bertanggungjawab dan telah menyentuh sentiviti agama di negara ini.

“Kita telah membuat laporan polis berhubung kenyataan kontroversi itu dan berharap agar pihak berkuasa akan menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen terbabit.

“Malah, kita mahu supaya Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyekat Nik Mohammad daripada masuk ke negeri ini,” ujar beliau.

Bagi Setiausaha Agung SADIA, Nicholas Mujah berkata, sebagai seorang Ahli Parlimen, Nik Mohammad tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu kerana masyarakat Iban telah lama hidup bersama meskipun terdapat Kristian, Islam dan Buddha dalam kalangan mereka.

“Kami berharap setiap Ahli Parlimen mesti menunjukkan rasa hormat dan berhati-hati dalam membuat kenyataan,” tambahnya.

Sementara itu, jurucakap Pertubuhan YATT Sarawak Freedy Misid berkata, untuk Ahli Parlimen Pasir Putih bercakap tentang kepercayaan orang lain dalam parlimen amat jauh tersasar.

Jelasnya lagi, di Sarawak sebanyak 70 peratus penduduknya adalah bukan penganut Islam sekali gus kenyataan seorang pemimpin semasa Sidang Parlimen berlangsung yang mengatakan Kitab Injil telah terpesong amat mengecewakan ramai masyarakat di Sarawak.

“Saya percaya ramai rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama, membantah kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Pasir Putih ini yang juga merupakan pemimpin Pas,” katanya.

Pada masa sama, Pengasas Bersama Dayak Bukit Kelingkang Lawrance Clement menjelaskan, pihaknya turut marah dan kesal dengan kenyataan Ahli Parlimen tersebut.

Manakala Presiden SAPA Dominique Ng menambah, Nik Mohammad tidak seharusnya dilindungi di bawah keistimewaan Dewan Rakyat terutamanya apabila beliau menyentuh tentang kebebasan dan sensitiviti agama.

Sebelum itu, kelima-lima NGO berkenaan telah membuat laporan polis terhadap Nik Mohammad di Balai Polis Kota Sentosa di Kuching sekali gus mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen terbabit.

Kelima-lima NGO tersebut menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu dan bagi mencegah mana-mana individu terutamanya pemimpin politik agar tidak menyentuh sensitiviti agama.