Malaysia Dateline

5 Oktober 2022 berakhirlah politik katak di Malaysia-Undi rakyat tidak akan dikhianati lagi

Tanggal 5 Oktober 2022 adalah hari yang bersejarah di Malaysia dengan berakhirnya politik katak di Malaysia apabila Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 [Akta A1663] berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti secara sah berkuat kuasa.

Pindaan perlembagaan ini telah diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 dan kemudian di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022.

Walaupun ini adalah hasil positif daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Persekutuan, ia sebenarnya adalah kejayaan buat rakyat Malaysia.

Budaya lompat parti yang tidak beretika telah membawa kerosakan besar kepada negara sejak kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020 melalui Langkah Sheraton.

Melalui peristiwa itu, mandat rakyat telah dikhianati oleh ahli politik yang berhimpun di hotel mewah.

Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14, terdapat lebih daripada 40 orang Ahli Parlimen yang melompat parti; angka yang paling ramai dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

Malahan, beberapa hari sebelum undang-undang ini dikuatkuasakan, masih ada Ahli Parlimen yang menukar parti mereka. Kerajaan di peringkat negeri bagi beberapa negeri juga bertukar beberapa kali dalam satu penggal disebabkan amalan lompat parti ini.

Ketidakstabilan politik yang disebabkan oleh katak-katak politik yang mementingkan diri sendiri telah menyebabkan pentadbiran negara yang kacau bilau apabila pihak yang menjadi Kerajaan lebih memfokuskan usaha kepada percaturan politik dan mengekalkan kuasa berbanding kepentingan negara dan kebajikan rakyat.

Ini berlaku ketika negara menghadapi krisis yang besar iaitu pandemik COVID-19 dan ekonomi yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa dan mata pencarian rakyat.

Budaya politik ini bukan sahaja menyebabkan ketidakstabilan politik dan mencemarkan amalan demokrasi di negara ini, malah juga mengkhianati mandat rakyat serta menghakis kepercayaan pengundi terhadap sistem pilihan raya.

Kejayaan dalam perjuangan menuntut pilihan raya yang lebih telus dan adil akhirnya dikecewakan oleh amalan politik tidak bermaruah. Di mata pengundi dan rakyat, amalan ini dilihat sebagai tidak menghormati pilihan mereka.

Kejayaan pelaksanaan undang-undang untuk menghalang lompat parti sebelum PRU15 diadakan adalah berita baik buat semua rakyat Malaysia.

Kewujudan undang-undang ini akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi negara ini.

Setiap undi rakyat Malaysia adalah begitu bermakna. Walau apapun permainan politik dan pilihan raya yang cuba diatur oleh mana-mana pihak, namun kuasa politik dulu, kini dan selamanya adalah di tangan rakyat.

Bila tiba masanya, marilah kita laksanakan tanggungjawab kita kepada negara ini dengan kuasa yang ada pada jari-jemari kita. Gunakan hak kita untuk bina Malaysia yang lebih baik!

Baca juga: Derita kencing manis hingga saraf mata dimatikan, pelakon veteran uzur tidak mampu bergerak terpaksa didukung

Baca juga: Jururawat neonatal bunuh 7 bayi, perbicaraan bermula tak lama lagi