Kelonggaran pergerakan yang diberikan kerajaan bermula esok perlu dilaksanakan dengan cermat, secara beransur bukan mendadak, dan dengan penuh kasih sayang bukan secara paksaan.
Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (PH) berkata, pelan kelonggaran haruslah berdasarkan fakta dan bukti dari kesilapan lepas di mana keputusan yang dibuat secara terburu-buru boleh mengakibatkan peningkatan mendadak kes Covid-19 dalam kalangan masyarakat dan akan lebih membebankan sistem kesihatan awam.
Pengerusinya, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya parameter-parameter haruslah dicapai sebelum sebarang perancangan berkenaan keistimewaan atau penamatan kawalan pergerakan dipertimbangkan:
1. Liputan vaksinasi sesuatu kawasan hendaklah sekurang-kurangnya 60%.
2. Semua kumpulan yang berisiko tinggi terutamanya warga emas dan mereka yang berkomorbiditas telah menjalani suntikan veksin dua dos yang lengkap.
3. Kapasiti sistem Penjagaan Kesihatan sesuatu kawasan tidak melebihi 70% dan haruslah diperkasakan untuk menangani sebarang kesulitan.
4. Mewujudkan Strategi Pelan Ujian Nasional yang komprehensif yang merangkumi “Kenal Pasti, Ujian, Kesan, Kuarantin, Sokongan” (FTTIS) dalam mengawal jangkitan dalam masyarakat.Strategi tersebut haruslah memperjelaskan SOP individu yang akan diuji, bila ujian akan diadakan, kekerapan ujian dan apa yang akan terjadi setelah ujian dijalankan untuk setiap industri dan sector.
5. Kadar kejadian hendaklah tidak kurang daripada 250 setiap 100,000 kes aktif.
Katanya, hanya apabila parameter-parameter ini telah dicapai, barulah kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberi keistimewaan atau “Pas Hijau” kepada semua yang berstatus telah lengkap dua dos vaksin,” katanya.
Pakatan Harapan juga mencadangkan keistimewaan atau kelonggaran pergerakan cuma diberi dalam lingkungan “dalam negeri yang sama, dalam ekonomi yang sama” dahulu.
“Kelonggaran sepenuhnya hanya dibolehkan setelah liputan vaksinasi dan parameter-parameter lain dicapai di kesemua Negeri.
“Hanya penduduk sebuah negeri dengan kadar jangkitan yang kurang dari 250 per 100,000 kes aktif sahaja yang dibenar perjalanan merentas dalam negeri. Buat masa ini, hanya Labuan, Perlis dan Sarawak yang dibolehkan,” cadang PH.
Katanya, SOP yang sewajarnya dan langkah-langkah kesihatan awam termasuk amalan pemakaian pelitup muka, pengamalan penjarakkan fizikal dan kebersihan tangan harus diteruskan terutamanya apabila varian sekarang adalah lebih mudah disebarkan dan berjangkit, walaupun telah mendapat keistimewaan atau “Pas Hijau”.
“Kami juga mencadangkan supaya pihak kerajaan membuat pengumuman awam dahulu berkenaan pelan dan keistimewaan yang akan diberi.
“Implementasi hanya dijalankan apabila semua parameter telah dicapai. Ini membolehkan masyarakat membuat penyesuaian dan peralihan kearah keperluan SOP yang sewajarnya.
“Ia juga dilihat akan memberi insentif kepada yang belum mendaftar untuk vaksin untuk mendaftar secepat mungkin,” katanya.