Malaysia Dateline

5 pembaharuan PM Anwar dalam tempoh dua minggu di Putrajaya

Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat beberapa pembaharuan penting dalam tempoh dua minggu mendapat mandat ke Putrajaya.

Berikut merupakan lima perkara yang diberi keutamaan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) ini:

1. Pengecilan saiz Kabinet

Pentadbiran Kerajaan Perpaduan PM Anwar telah mengecilkan saiz Kabinet apabila jumlah keseluruhan Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik hanyalah seramai 55 orang berbanding 70 orang dalam Kabinet yang diterajui oleh Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Pengecilan saiz Kabinet ini dilihat tidak mengganggu atau memberi kesan kepada kecekapan pentadbiran negara kerana pelaksanaan dasar dibuat pegawai dan kakitangan kerajaan yang berjumlah 1.5 juta orang.

2. Monopoli import beras

Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim akan meneliti isu monopoli import beras yang dikuasai tokoh korporat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Tindakan Perdana Menteri melarang monopoli beras dilihat berjaya menyekat dominasi ahli politik yang mempunyai kepentingan peribadi dalam Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

Berhubung monopoli import beras ini, pemilik Bernas, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bersetuju memperuntukkan RM10 juta kepada pesawah miskin pada bulan ini dan RM50 juta lagi mulai tahun depan dalam skim pengagihan keuntungan Bernas kepada pesawah miskin.

3. Pemotongan gaji menteri

Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji masing-masing sebanyak 20 peratus setiap bulan sehingga ekonomi negara kembali pulih.

Langkah ini diambil sebagai menunjukkan keprihatinan terhadap masalah rakyat. Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Beliau cukup dengan elaun sebagai Ahli Parlimen sahaja.

4. Jadikan kediaman rasmi PM tempat ilmu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadikan kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya sebagai tempat untuk berlangsungnya majlis agama dengan program-program agama dan ilmu pada setiap minggu.

Kediaman rasmi beliau akan dijadikan sebagai tempat kegiatan ‘dakwah’ dan kebajikan rakyat yang akan dibuka kepada rakyat pada setiap minggu.

5. Pecat Jemaah Menteri terlibat rasuah

Datuk Seri Anwar Ibrahim PM pertama di dalam sejarah yang berjanji akan memecat Jemaah Menteri terlibat rasuah secara serta merta.

Anwar menekankan pentadbiran beliau menekankan tatakelola baik dan tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan sebarang unsur jenayah rasuah.

Baca juga Tiada sekelumit ucapan yang mencambah kebencian, masyarakat bukan Muslim pun teruja