Malaysia Dateline

5 positif Covid-19 ketika jejak kaki di Langkawi

Terdapat lima kes positif Covid-19 dikesan melalui saringan ujian RTK-Ag yang mahu ke Pulau Langkawi hari ini.

Mereka antara 2,528 individu yang mahu ke pulau peranginan itu di empat pintu masuk lapangan terbang dan terminal feri di Kuala Perlis.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, seramai 2,546 individu disaring sehingga jam 12 tengah hari tadi di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi.

Jelasnya, ia membabitkan sejumlah 1,250 individu yang disaring di empat pintu masuk lapangan terbang dan 1,296 individu lagi melalui feri di Kuala Perlis.

“Sejumlah enam individu sudah menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum ke lapangan terbang, dan kesemua keputusan adalah negatif.

“Baki 12 orang kanak-kanak bawah usia enam tahun tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua lima kes yang dikesan adalah kategori satu iaitu tidak bergejala.

Katanya, kes-kes itu diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari.