5 tema utama untuk Johor bergerak maju

Oleh NASUHA RAHMAN

Sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor oleh Pakatan Harapan Johor, saya telah menyuarakan hasrat untuk memimpin barisan Pembangkang yang konstruktif. Ini penting untuk membina kerjasama dwipartisan dalam usaha membawa Johor bergerak maju serta memastikan kepentingan Bangsa Johor sentiasa diutamakan. Justeru saya kemukakan 5 tema utama untuk Johor bergerak maju di masa akan datang.

Bagi pihak Pembangkang, saya telah menulis surat kepada YAB Menteri Besar Datuk Onn Hafiz bin Ghazi untuk mencadangkan supaya diwujudkan Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan dwipartisan dalam Dewan Negeri Johor.

Jawatankuasa Pilihan Tadbir Urus, Cekap, Berintegriti

Tadbir urus yang baik dan cekap serta berintegriti amat penting kepada mana-mana kerajaan dan perkhidmatan awam. Semua amalan bersih dan baik yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pilihan akan diguna pakai di semua agensi negeri, GLC negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan tadbir urus yang berkesan, cekap dan bersih.

Jawatankuasa Pilihan Masalah Iklim, Perancangan Bandar dan Luar Bandar

Perubahan iklim adalah masalah yang benar-benar wujud dan memberi kesan besar kepada semua orang. Banjir, cuaca panas dan bencana lain sentiasa memberi peringatan kepada kita bahawa tindakan menangani masalah iklim amat diperlukan sekarang. Ia turut melibatkan usaha untuk memastikan perancangan yang lebih baik untuk kawasan bandar dan luar bandar. Ini termasuk menyediakan infrastruktur, sistem pengangkutan awam, perumahan, penjagaan kebersihan dan penebatan banjir yang lebih baik.

Mewujudkan Jawatankuasa Pilihan ini bermakna semua isu yang dinyatakan di atas dapat dibincangkan bersama di samping menggalakkan penyertaan suara awam dalam menentukan masa depan Johor dalam hal-hal ini.

Jawatankuasa Pilihan Kerjasama Johor-Singapura

Singapura merupakan entiti yang penting kepada ekonomi dan kesejahteraan Johor berbanding negeri-negeri lain. Begitu juga dengan Johor yang diperlukan oleh Singapura bagi mendapatkan sumber-sumber yang tiada di negara itu. Dengan adanya Jawatankuasa Pilihan ini untuk mengkaji isu-isu berkaitan hubungan Johor-Singapura, ia akan membantu Kerajaan Negeri menggubal idea dan dasar jangka panjang. Ini bagi membolehkan kerjasama antara rakyat, aliran barangan dan perkhidmatan, dan peluang-peluang ekonomi di antara Johor dan Singapura.

Jawatankuasa Pilihan Pemerkasaan Federalisme dan Kuasa Negeri

Federalisme atau sistem Persekutuan di Malaysia memerlukan satu permulaan semula atau reset. Aturan sistem menurut Perlembagaan Persekutuan yang ada hari ini memberi terlalu banyak kuasa kepada Kerajaan Pusat, dan ini memberi kesan kepada negeri-negeri termasuk Johor. Sistem dan amalan yang ada merupakan legasi pemerintahan satu parti pimpinan UMNO sejak Merdeka. Dalam aturan lama, seorang Perdana Menteri UMNO melantik semua Menteri Besar dan Ketua Menteri yang perlu patuh kepada Perdana Menteri tersebut. Kini masa telah berubah.

Malaysia memerlukan sebuah Persekutuan yang akan memberi lebih banyak kuasa kepada Johor, termasuk dalam bidang kesihatan, pembangunan ekonomi, dan pendidikan, serta berkongsi hasil cukai pendapatan lebih tinggi yang dikutip di Johor. Apabila Perlembagaan Persekutuan digubal pada tahun 1957, kutipan cukai daripada tanah amat penting kepada negara tetapi cukai pendapatan tidak menjadi keutamaan. Tetapi hari ini, cukai pendapatan merupakan satu daripada hasil utama Kerajaan Pusat.

Kerajaan Persekutuan tidak akan rugi jika ia berkongsi hasil cukai pendapatan dengan kerajaan-kerajaan negeri. Dengan bertambahnya pembangunan ekonomi dan kutipan cukai, ia bermakna kedua-dua Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri mendapat faedah daripada hasil yang lebih besar. Usaha ini penting untuk masa depan Johor, dan oleh kerana itu ia memerlukan kerjasama dwipartisan dalam Dewan Negeri.

Jawatankuasa Pilihan Ekonomi dan Kesejahteraan Bangsa Johor

Demi kesejahteraan warga Johor dan kemakmuran yang bakal dinikmati melalui pembangunan ekonomi negeri, kita perlu mewujudkan kesepakatan di kalangan semua pihak dalam Dewan Negeri serta dengan semua masyarakat di Johor untuk menambah baik serta memulihkan ekonomi kita.

Isu-isu seperti menyediakan pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik, krisis kos sara hidup, pengangguran anak muda, penambahbaikan teknologi dan inovasi memerlukan lebih tumpuan serta kerjasama dwipartisan.

Dalam kunjungan hormat saya kepada Menteri Besar pada 16 April 2022, kami berbincang dengan panjang lebar tentang perlunya diwujudkan beberapa Jawatankuasa Pilihan dalam Dewan Negeri. Pada 21 April 2022, Menteri Besar memaklumkan secara peribadi kepada saya bahawa cadangan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan dwipartisan itu adalah “on my radar”, dan beliau juga telah memberitahu media tentang cadangan ini.

Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan dwipartisan yang aktif dan berfungsi dapat memastikan semua wakil rakyat akan lebih berpengetahuan dan mahir dalam hal-hal dasar, dan mampu memberi tumpuan dan menjadi cekap dalam bidang dasar masing-masing. Ini akan dapat meningkatkan kualiti hujah serta perbahasan di dalam dan di luar Dewan Negeri.

Dengan itu, marilah kita sama-sama membawa Johor bergerak maju dengan tema-tema utama ini