Malaysia Dateline

50 ahli Umno keturunan Siam keluar parti sertai Bersatu

Seramai 50 ahli Umno Kampung Pong, Pengkalan Hulu,Perak yang terdiri dari keturunan Siam telah meninggalkan parti tersebut dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam satu majlis yang diadakan di Kampung Pong, semalam.

Setiausaha Kerja Bersatu Negeri Perak, Yusof Nordin telah menerima borang keahlian bekas ahli Umno tersebut berkata, penyertaan beramai-ramai bekas ahli Umno itu sememangnya telah lama dijangkakan.

Katanya lagi, kekecewaan penduduk di Kampung Pong bukan suatu masalah yang baru, sebaliknya ia telah lama tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan terdahulu.

Sehubungan itu ujarnya, sokongan yang diberikan oleh 50 bekas ahli Umno Kampung Pong membuktikan mereka yakin dengan kepimpinan Bersatu dan juga kerajaan.

“Secara jelas ia memperlihatkan keyakinan penduduk dan bekas ahli Umno itu untuk bersama-sama dengan kerajaan PH sedia ada.

“Kita akan memberi sokongan khususnya bagi mengatasi pelbagai kedaifan yang wujud di kampung ini.

“Apabila mereka meninggalkan parti Umno beramai-ramai, ia memperlihatkan harapan yang mereka harapkan kepada kerajaan sedia ada kini, ” tegasnya.

Malika ap Win(tengah) menyerahkan borang penyertaan Bersatu kepada Setiausaha Kerja Bersatu Negeri Perak, Yusof Nordin (kanan), di Kampung Pong, Pengkalan Hulu, semalam.

Maka itu kata Yusof, segala aduan dan permasalahan yang ditimbulkan oleh penduduk Kampung Pong akan dibawa ke pengetahuan pihak terbabit supaya tindakan dapat diambil.

Malah tambah beliau, ketidakpedulian kerajaan terdahulu terhadap masalah yang dihadapi penduduk meninggalkan kesan yang amat besar sehingga mereka menzahirkan kekecewaan dengan meninggalkan parti tersebut.

Sejajar dengan itu jelasnya, kerajaan PH merupakan sebuah kerajaan yang peduli rakyat dan akan melakukan yang terbaik untuk membela nasib semua golongan masyarakat.

Hadir sama ialah Ketua Bersatu Bahagian Gerik, Ayob Abdul Rahman.