Malaysia Dateline

50 asnaf di Kuching terima sumbangan Yayasan Prihatin Insan

Seramai 50 terdiri daripada golongan asnaf di sekitar Kuching telah menerima sumbangan daripada Yayasan Prihatin Insan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Insan, Nur Sakinah Mohd Yusoff berkata, sumbangan yang disampaikan itu adalah yang pertama kali diadakan di Kuching sempena berlangsungnya Jelajah Le Tour De Langkawi (LTdL) 2020 Jumaat lalu di negeri ini.

Katanya, sebelum ini pihaknya telah menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di Sabah seramai 70 orang.

“Keseluruhannya seramai 955 orang telah menerima sumbangan berupa barangan makanan ini daripada golongan asnaf B40 di seluruh negara.

“Dari segi nilai jumlah tersebut, kami telah pun memperuntukan sebanyak RM46,470 untuk menyediakan barangan yang diagihkan itu,” jelas beliau ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Yayasan Prihatin Insan di Kuching Jumaat lalu.

Tambah Nur Sakinah, golongan asnaf yang dipilih menerima sumbangan adalah terdiri daripada anak-anak yatim, ibu tunggal, miskin, OKU dan B40.

Sementara itu, Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali mengalu-alukan program tersebut yang diadakan di Kuching.

Katanya, AMANAH Sarawak sentiasa memberi kerjasama kepada mana-mana agensi kerajan dan pihak lain dalam merencanakan program dan aktiviti kebajikan.

“Kita telah memberikan senarai nama penerima di samping menyediakan logistik pengangkutan untuk mereka hadir menerima sumbangan.

“Semoga sumbangan yang diterima daripada pihak Yayasan Prihatin Insan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” jelasnya.

Pada masa sama, Ketua AMANAH Cawangan Demak Laut, Mohamad Zen Haji Peli memberitahu rata- rata penerima sumbangan adalah terdiri daripada golongan asnaf di kawasan Demak Laut.

Tegasnya, AMANAH Demak Laut turut sentiasa mengatur pelbagai program dan aktiviti bagi menyantuni golongan berkenaan.

“Alhamdulilah…terima kasih kepada Yayasan Prihatin Insan yang sudi memilih golongan asnaf dari Demak Laut menerima sumbangan pada kali ini.

“Sesungguhnya kami amat berbesar hati dan teruja dengan keterlibatan AMANAH Demak Laut dalam program dan aktiviti kebajikan seumpama ini, ” katanya.