50 BEKAS AHLI UMNO SERTAI AMANAH NEGERI PERLIS

50 BEKAS AHLI UMNO SERTAI AMANAH NEGERI PERLIS

Yakin dengan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH), akhirnya 50 bekas ahli Umno dari Kampung Alor Ara Barat, Arau, Perlis telah mengambil keputusan berani dengan meninggalkan parti keramat tersebut.

Sebaliknya mereka sepakat membuat keputusan untuk menyertai AMANAH.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perlis, Mohd Khomeini Halipah selepas penyerahan borang menyertai AMANAH oleh 50 bekas ahli Umno kepada Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar kelmarin.

                                                  Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perlis, Mohd Khomeini Halipah.

Menurut beliau lagi, stail kepimpinan AMANAH yang tidak fanatik, melampau dan ekstrim terbukti telah berjaya menambat hari bekas ahli Umno tersebut untuk menyertai AMANAH.

“Majoriti dari mereka adalah orang kuat Umno yang telah lama berada dalam parti tersebut.

“Namun begitu gerak kerja, kepedulian yang telah dibuktikan oleh AMANAH kepada masyarakat menyedarkan mereka mengenai kemampuan kerajaan PH sedia ada.

“Secara tidak langsung, ia memperlihatkan sokongan masyarakat terhadap Umno dan BN di Perlis semakin terhakis, ” ujarnya.

Mahfuz menerima borang menyertai AMANAH daripada Zalkafli Ishak yang mewakili sebahagian ahli Umno Kampung Alor Ara Barat yang menyertai AMANAH,

Malah kata Khomeini lagi, ramai lagi penyokong Umno dan Pas yang akan menyertai AMANAH Perlis tidak lagi.

“Dengan kemasukan beramai-ramai ahli Umno tersebut, ia memberi tamparan yang amat hebat kepada BN di Perlis.

“Beberapa kejutan lagi akan berlaku tidak lama lagi setelah rakyat semakin yakin dengan kepimpinan PH.

“Ia bukan saja meningkatkan jumlah ahli AMANAH, sebaliknya mencambahkan lagi dokongan kepada kerajaan pusat yang diterajui oleh PH, ” tambah beliau lagi.