50 maut dalam tempoh 24 jam di Afghanistan

50 maut dalam tempoh 24 jam di Afghanistan

Pertempuran antara tentera kerajaan dan militan antikerajaan telah menyebabkan lebih 50 orang maut dalam tempoh 24 jam lepas di Afghanistan, negara yang terjejas akibat pemberontakan, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pegawai pada Rabu.

Dalam pertempuran terkini, pemberontak Taliban telah menyerbu pos pemeriksaan keselamatan di daerah Ashkamish yang terletak di utara wilayah Takhar pada awal pagi Rabu, mencetuskan insiden berbalas tembakan yang berlanjutan selama beberapa jam, menyebabkan tujuh pemberontak dan tiga anggota pasukan keselamatan maut, kata jurucakap kerajaan wilayah Mohammad Jawad Hajari.

Lima militan dan empat anggota keselamatan cedera dalam pertempuran itu.

Dalam perkembangan lain, seorang anggota polis dan dua anggota tentera maut di pinggir bandar Ghazni pada pagi Rabu.

Menurut polis, serangan anggota militan Taliban ke atas pos pemeriksaan keselamatan berjaya dipatahkan.

Sejumlah 24 pemberontak disahkan maut manakala 19 lagi cedera apabila sebuah pesawat pejuang menyerang tempat persembunyian Taliban di kawasan Arkalik dalam daerah Qaisar yang terletak di utara wilayah Faryab dalam tempoh 24 jam lepas, kata seorang jurucakap tentera di wilayah utara Mohammad Hanif Rezai.

Pertempuran di daerah Mizan yang terletak di selatan wilayah Zabul pula menyebabkan dua anggota polis dan lapan pemberontak maut manakala berpuluh-puluh anggota daripada kedua-dua pihak cedera sejak Selasa, kata Ketua Polis Wilayah Mohammad Mustafa Mayar.

Lapan lagi anggota militan cabang Taliban terbunuh di daerah Mohammad Agha yang terletak di timur wilayah Logar sejak pagi Selasa, kata sumber keselamatan.

— BERNAMA