Malaysia Dateline

50 pemuda PN berkumpul ketika kes Covid-19 terus melonjak

Sejumlah kira-kira 50 individu daripada tujuh sayap pemuda parti komponen Perikatan Nasional (PN) selamba berkumpul menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perpaduan Ramadan di ibu negara hari ini.

Mereka dilihat berada di ruang yang agak terhad dalam program anjuran Dewan Pemuda Pas Malaysia itu ketika kes jangkitan baharu Covid-19 terus menunjukkan peningkatan mendadak.

Ketua Pemuda PN, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dalam hantarannya di Facebook malam ini berkata, dia “sangat terharu dengan kesudian rakan-rakan” yang hadir.

“Tiada siapa sangka tujuh sayap pemuda parti politik di Malaysia boleh duduk makan dan bersembang sekali satu meja dengan mesra dan harmoni,” ujarnya.

Khairil (meja depan dua kiri) bersama antara pemuda komponen PN.

Antara yang hadir Ketua Armada merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Akmal; Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Azril Rizal Yusof; Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan.

Turut hadir Ketua Pemuda MCA Nasional, Datuk Nicole Wong; Ketua Pemuda MIC Nasional, Thinalan Rajagopalu dan Naib Ketua Pemuda Gerakan Nasional, Ir Ong Kean Sing.

Bahkan, Khairil Nizam memberitahu, wakil-wakil NGO, Jufitri Joha dari Majlis Belia Malaysia (MBM) serta NGO-NGO lain.

“Walaupun saya tidak dapat menyebut satu-persatu disini, ini tidak bermaksud anda tidak penting dalam agenda kami dan juga tidak mengurangkan sedikit pun rasa hormat saya kepada mereka,” katanya kerana gagal mengingati kesemua yang hadir.

Khairil dan Ketua Pemuda MCA Nasional, Datuk Nicole Wong.