Malaysia Dateline

50 peratus keluar mengundi setakat 1 petang

Sebanyak 50 peratus daripada 54,503 pengundi berdaftar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih telah keluar mengundi setakat pukul 1 petang tadi.

Maklumat tersebut dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Cuaca setakat tengah hari tadi cerah.

SPR sebelum ini menjangkakan peratusan keluar mengundi untuk PRK N.24 bakal mencapai 70 peratus.

Dalam hal berkaitan, seorang ahli akademik berpendapat peratusan keluar mengundi hari ini berkemungkinan akan jatuh.

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizudin Sani berkata, keadaan itu harus dibimbangi oleh parti Pakatan Harapan (PH).

“Peratusan keluar mengundi juga dijangka jatuh berbanding dahulu 80 peratus lebih.

“Saya rasa keadaan itu harus dibimbangi Pakatan Harapan,” katanya dalam program Bicara Minda: Semasa Semenyih Pasca PRK : Janji Untuk Rakyat kelmarin.

Memetik laporan Astro Awani, beliau berpendapat antara sebab penurunan peratusan mengundi ialah kebanyakan pengundi berada di luar kawasan dan tidak akan balik untuk PRK kali ini.

Dalam masa sama, Dr Azizudin berkata, persaingan sengit khususnya daripada dua parti yang dominan iaitu PH dan BN juga bakal menyumbang kepada perkembangan tersebut.