Malaysia Dateline

50 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 di Kuching

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan seramai 50 orang petugas kesihatan di Kuching disahkan positif COVID-19 hari ini.

Kenyataan JPBN berkata, daripada jumlah tersebut, 20 orang daripadanya merupakan sebahagian daripada Kluster Persidangan Kuching manakala baki 30 orang lagi melibatkan kluster-kluster kecil.

“Maka, ini bermakna mereka tidak mewujudkan Kluster Hospital Umum Sarawak (HUS),” kata kenyataan itu di Kuching petang ini.

JPBN turut menegaskan, beberapa kluster telah dikenalpasti menyumbang kepada kes Covid-19 di negeri ini.

“Kluster Persidangan Kuching telah merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 160 kes, diikuti Seri Petaling (103), PUI Itali (61), Kluster-kluster kecil (90), Sporadik Kes (28) dan kluster masih dalam siasatan dan kes baru 26 kes,” jelas kenyataan itu lagi.

Justeru, tambah kenyataan itu usaha pengesanan 2,500 kontak rapat dan kontak biasa kes Covid-19, setakat ini telah dapat menghubungi kira-kira 557 orang.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 195 orang telah disaring dan setakat hari ini seramai 302 orang lagi setuju untuk disaring di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak.

“Manakala 41 lagi individu dalam senarai berada di luar Sarawak dan tidak dapat dihubungi bagi menjalani ujian saringan,” kata kenyataan itu.