Malaysia Dateline

500 undi ahli AMANAH Kimanis tetap milik calon Warisan

Seramai hampir 500 ahli daripada tujuh AMANAH Cawangan di Parlimen Kimanis melaungkan keyakinan akan memberi undi kepada calon Warisan, Datuk Karim Bujang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis Sabtu ini.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Negara Negeri Sabah, Zaidi Jatil (gambar atas) pihaknya yakin bahawa ahli-ahlinya memberi seratus peratus undi kepada calon Warisan berdasarkan gerak kerja yang dilaksanakan di peringkat jentera parti.

Katanya, tujuh cawangan AMANAH yang telah ditubuhkan di Parlimen Kimanis serakat ini mempunyai seramai ahli dan merupakan pengundi berdaftar di Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing.

“Saya optimis dan yakin bahawa semua ahli AMANAH di Kimanis akan tetap memberi undi kepada calon Warisan, Datuk Karim Bujang pada Sabtu ini,” ujarnya semasa ditemui di Bilik Gerakan AMANAH Sabah di Membakut di sini hari ini.

Zaidi memberitahu, tujuh cawangan yang telah ditubuhkan itu ialah Mawao Laut, Mawao Lumpayas, Mawao Ulu, Tahak, Kabang, Kabang Ulu dan Dungau.

Tegasnya, tujuh cawangan terbabit adalah terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Membakut.

“Tujuh cawangan ini hanya menanti kelulusan selepas proses pendaftaran hujung tahun lalu.

“Walaupun masih menunggu proses diluluskan tetapi segala gerak kerja sudah pun dilaksanakan lebih-lebih pada PRK Kimanis ini.

“Dan gerak kerja jentera ini telah diaktifkan sebelum Hari Penamaan Calon 4 Januari lalu,” jelasnya lagi.

Pada PRK kali ini, Parti Warisan Sabah (Warisan) telah mengumumkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang, 67, sebagai calon parti berkenaan.

Barisan Nasional (BN) pula mempertaruhkan Ketua Umno Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, 48, sebagai calon mereka.

Karim ialah calon Warisan bagi kerusi itu pada PRU14, namun kalah dengan majoriti 156 undi kepada bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket BN.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah bagi kerusi itu.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Calon lain daripada Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail pula meraih 1,300 undi.

Daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kimanis merangkumi 29,664 pengundi yang terdiri daripada 29,654 pengundi biasa dan sembilan pengundi awal.