5,000 hadir himpunan tuntut keadilan untuk Adib

5,000 hadir himpunan tuntut keadilan untuk Adib

Kira-kira 5,000 orang hadir ke perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy’ yang dianjurkan oleh Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni,Kelang hari ini.

Peserta perhimpunan hadir mengenakan baju berwarna hitam sebagai tanda sokongan agar mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian yang menyebabkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 9.41 malam 17 Disember lalu selepas kira-kira tiga minggu menerima rawatan di institut berkenaan.

Peserta perhimpunan terlebih dahulu berkumpul di Masjid Bandar Diraja Klang bagi menunaikan solat jenazah ghaib bagi Muhammad Adib dan solat Asar secara berjemaah yang diketuai imam masjid itu Mohd Azrun Tuniran.

Para peserta perhimpunan mula berarak ke Dataran Seni Klang yang terletak kira-kira 400 meter dari masjid berkenaan pada kira-kira 5.15 petang sambil mengalunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) turut memberikan ucapan di perhimpunan berkenaan.

Wakil penganjur, Abu Bakar Mohamed dalam ucapannya menuntut pihak berkuasa segera mencari dalang insiden yang menyebabkan kematian Muhammad Adib selain menuntut agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy dipecat.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa pula menuntut agar suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan segera bagi memastikan siasatan yang lebih telus tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

Presiden Geras, Abu Bakar Mohamed, yang lengkap berpakaian tradisional Melayu ketika berucap menuntut kerajaan mencari dalang insiden kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Himpunan berkenaan mendapat sokongan beberapa NGO lain antaranya Gerakan Srikandi Malaysia, Angkatan Laksamana Bukit Jati Klang, Badan Amal Tarbiyah Sejagat, Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun Malaysia dan Kebajikan Sejagat Malaysia.

Perhimpunan berlangsung tanpa sebarang kekecohan dan peserta mula beredar meninggalkan lokasi pada kira-kira 6.30 petang.- BERNAMA.

Presiden GPMS Zambri Mohd  Isa antara NGO yang turut berucap pada himpunan aman hari ini.