Malaysia Dateline

5,000 penguatkuasa bertugas sepanjang PKP di Sarawak

Lebih 5,000 anggota penguatkuasa telah bertugas di barisan hadapan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Sarawak.

Menurut kenyataan Sektariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, anggota berkenaan adalah terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan di negeri ini.

“Sehingga kini, seramai 4,139 anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dibantu oleh 1,209 anggota dari pelbagai agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 681 orang, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) 397 orang, Angkatan Pertahanan Awam (APM) 63 orang dan Polis Sukarelawan (PVR) 68 orang telah menjalankan tugas PKP di negeri ini,” ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan sehingga Ahad (semalam), Polis telah menangkap 25 orang di Sarawak kerana melanggar PKP.

“Berikut adalah tangkapan harian mengikut daerah sehingga 4 April 2020 iaitu Kuching 10 orang, Kota Samarahan (5), Miri, Bintulu, Sibu dan Serian masing-masing dua orang dan Padawan dan Meradong masing-masing seorang.”jelas kenyataan itu.