50,000 pengawal bakal hilang kerja, kerajaan diminta jawab ura-ura laksana CFS

50,000 pengawal bakal hilang kerja, kerajaan diminta jawab ura-ura laksana CFS
Datuk Seri Ramli Yusuff (dua dari kiri) ketika sidang media diadakan di ibu pejabat PIKM hari ini.

Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) menggesa Kementerian Kewangan untuk memberikan jawapan segera berkenaan ura-ura cadangan kementerian itu yang dikatakan akan melaksanakan terma ‘Contract for Service’ (CFS) bagi perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK) di premis-premis kerajaan.

Presiden PIKM, Datuk Seri Ramli Yusuff berkata, jika dasar tersebut dilaksanakan, sehingga 50,000 kakitangan keselamatan yang secara puratanya berada di dalam golongan B40 akan hilang pekerjaan.

Katanya, 400 buah syarikat yang bergantung kepada kontrak kawalan keselamatan kerajaan juga bakal mengalami kelumpuhan ekonomi.

“Ini ialah ura-ura yang kami dengar. Kami telah menghantar surat rasmi kepada pihak kementerian untuk meminta kepastian tentang perkara ini sejak 12 Julai yang lepas, tetapi masih tiada lagi maklumbalas.

“Bagi institusi pendidikan, pelaksanaan CFS menggambarkan seolah-olah keselamatan murid-murid, kakitangan dan aset serta orang awam menjadi taruhan, lantaran langkah penjimatan kos yang diura-urakan.

“Kita perlukan profesional untuk kendalikan isu soal keselamatan. Kami menganggap apabila dasar ini dilaksanakan di sekolah, ia seolah-olah akan memberi mandat kepada pihak sekolah untuk menggajikan pengawal keselamatan sendiri.

“Sedangkan pengawal keselamatan kami merupakan pengawal yang terlatih, yang mengikut modul latihan yang ditetapkan kerajaan dan kebanyakannya bekas tentera,”katanya dalam sidang media di Pejabat PIKM, hari ini.

Turut hadir, Kapten (B) Najmuddin Mohd Ibrahim, Timbalan PIKM; Datuk Mohd Yunus Long dan Muhammad Ubaidillah Enam, Naib Presiden; Ku Norazmi Datuk Imam Asmawi,Setiausaha Kehormat; dan Ir Sofia Johari,Bendahari Kehormat.

Tambahnya, sehingga kini, syarikat-syarikat keselamatan swasta secara secara keseluruhan telah membelanjakan lebih kurang RM62 juta untuk melatih 100,000 pengawal keselamatan tempatan dan 24,000 pengawal keselamatan dari Nepal untuk latihan yang dimandatkan oleh kerajaan.

Jelasnya, dasar yang dilaksanakan hanya akan membantutkan usaha PIKM sebagai Industry Lead Body untuk membangunkan tenaga kerja industri kelesamatan yang berkemahiran tinggi terutama di bawah program TVET.

“Selain itu, dasar tersebut akan menyebabkan kelumpuhan industri yang melibatkan Syarikat Kawalan Keselamatan yang secara puratanya berstatus Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) yang mana 99 peratus adalah milikan bumiputera.

“Malah, selain dari B40, mereka yang bekerja ini kebanyakannya pesara tentera. Mereka telah berkhidmat dalam tentera selama 21 tahun. Dan selepas mereka bersara, mereka bekerja pula jadi pengawal keselamatan. Jadi kalau diberhentikan, ramai pesara tentera yang akan hilang kerja,”ujarnya.