Malaysia Dateline

501 menu popular diperkenalkan di MAHA 2018

Sebanyak 501 menu makanan popular membabitkan 95 usahawan akan diperkenalkan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 yang akan diadakan pada 22 Nov sehingga 2 Dis depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Mansor Omar berkata kesemua menu makanan tersebut dipilih dari seluruh Malaysia untuk diperkenalkan kepada pengunjung pameran itu.

“Dari Kelantan sahaja sebanyak 22 menu popular warisan negeri ini akan diperkenalkan oleh enam usahawan dalam pameran itu.

“Setiap menu itu dipilih melalui penelitian oleh pihak kami di setiap daerah yang makanan tersebut menjadi popular di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Promosi Makanan Kelantan Ke Empayar Makanan MAHA 2018 di Pejabat FAMA Kelantan di Bandar Baharu Tunjong di sini, hari ini.

Mansor berkata antara makanan popular dari Kelantan yang akan dibawa ke pameran MAHA 2018 ialah ‘Ike Gelamo Bekok’ “atau Ikan Gelama Bengkak yang terkenal di jajahan Tumpat.

“Selain Ikan Gelama Bengkak, menu lain yang akan diperkenalkan ialah satar goreng, nasi dagang, nasi kerabu ayam madu, akok, laksa dan laksam,” katanya.

Beliau berkata antara konsep akan ditonjolkan pada MAHA 2018 kali ini iaitu ‘hipster’, tular di media sosial dan memberi kepuasan dari segi rasa dan rupa.

“Ia pentas terbaik untuk setiap usahawan dari setiap daerah di seluruh negara untuk mempamer dan memperkenalkan keunikan hidangan masing-masing.

“Setiap negeri mempunyai kelebihan tertentu dalam hidangan yang diperkenalkan namun produk makanan popular dari Kelantan amat digemari oleh kebanyakan mereka yang tinggal di luar negeri ini,” katanya.

Katanya FAMA menyasarkan kutipan sebanyak RM3 juta dalam segmen ‘Empayar Makanan’ sepanjang pameran itu berlangsung.

“Saya berharap orang ramai mengambil peluang untuk merasai sendiri keenakan menu popular hidangan dari seluruh negara yang dipamerkan dalam MAHA 2018,” katanya.

— BERNAMA