Malaysia Dateline

51 kilang plastik haram dikesan masih beroperasi di Selangor

Sebanyak 51 kilang plastik haram dikesan masih ingkar dengan terus beroperasi di seluruh Selangor, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu Selangor, Ng Sze Han.

Disebabkan itu kata Ng, pihaknya memerlukan kerjasama daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Suruhanjaya Tenaga untuk menyekat bekalan air serta elektrik sebagai langkah efektif bagi mengekang operasi kilang-kilang haram berkenaan.

“Kita sedang berbincang dengan SPAN serta suruhanjaya itu dan kita akan pastikan bekalan air serta elektrik (terhadap kilang-kilang haram) akan dipotong (dalam masa terdekat),” katanya bagi menjawab soalan tambahan Leong Tuck Chee (DAP-Pandamaran) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Leong dalam soalan tambahannya bertanya sama ada operasi yang dijalankan kerajaan negeri dalam membanteras kilang plastik haram memerlukan bantuan daripada agensi utiliti untuk menyekat bekalan tenaga dan air kepada kilang berkenaan.

Dalam pada itu, Ng berkata setakat ini, sebanyak 107 kilang plastik haram dikesan beroperasi di Selangor yang mana 99 kilang diberi notis penutupan manakala 48 daripadanya telah ditutup sepenuhnya.

Tambahnya, sebanyak 127 kes disiasat Jabatan Alam Sekitar Selangor sejak Julai 2018 hingga Februari lepas dengan 50 daripadanya disyorkan untuk dihadapkan ke mahkamah manakala enam kes pula telah didenda sebanyak RM389,000 serta satu hari penjara.

Beliau berkata satu jawatankuasa tindakan juga telah ditubuhkan untuk bertindak dengan lebih proaktif bagi memantau perkembangan isu kilang haram di negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Ng berkata tiga notis juga telah dikeluarkan terhadap pemilik tanah yang didapati menyalahgunakan tanah mereka dengan membenarkan kilang plastik haram untuk beroperasi.

“Di Kuala Langat, setakat ini ada tiga notis salah guna tanah yang membenarkan kilang haram beroperasi di atas tanah pertanian iaitu meliputi Notis 7A, 7B dan (akhirnya) Notis 8A jikalau tuan tanah masih gagal memulihkan tanah tersebut,” katanya bagi menjawab pertanyaan Dr Idris Ahmad (PKR-Ijok) yang bertanya mengenai rampasan hak milik tanah jika dikenal pasti membenarkan operasi kilang haram.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan Dan Kehidupan Bandar negeri Haniza Mohamed Talha memberitahu sidang DUN bahawa sebanyak 983 unit rumah ‘Skim Smart Sewa’ sedang dilaksanakan di seluruh Selangor setakat ini.

Beliau berkata sebanyak 541 unit lagi sedang dibangunkan dan dijangka dapat disiapkan untuk disewa oleh rakyat mulai tahun ini sehingga tahun hadapan.

“Projek yang sedang dibangunkan meliputi daerah Petaling, Klang, Hulu Langat, Gombak, Sepang dan Hulu Selangor. Pada bulan ini saja, 101 unit telah disiapkan dan akan dibuka permohonan kepada orang awam,” katanya menjawab pertanyaan Dr Daroyah Alwi (PKR-Sementa) mengenai bilangan unit rumah ‘Smart Sewa’ di seluruh negeri.- BERNAMA