51 menu makanan Perak bakal disajikan pada MAHA 2018

51 menu makanan Perak bakal disajikan pada MAHA 2018

Perak bakal menampilkan 51 menu makanan popular negeri berkenaan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di Serdang, Selangor dari 22 Nov hingga 2 Dis ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri berkata program selama 11 hari bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) itu akan melibatkan 12 usahawan negeri ini yang mengambil bahagian.

“Jika MAHA sebelum ini, enam usahawan dibawa ke kluster Empayar Makanan, tetapi pada MAHA kali ini kita menggandakan jumlah usahawan.

“Kita akan menawarkan 51 menu popular atau kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan 501 menu makanan yang akan dihidangkan di MAHA 2018,” katanya pada sidang media MAHA 2018 dan Empayar Makanan Perak di sebuah restoran di sini hari ini.

Antara menu akan disajikan dari Perak antaranya Kelapa Leleh Kampor, Laksa Telur Goreng Bersarang, Kuey Teow Goreng Arang, Mee Udang, Putu Perak, Rendang Tok serta Nasi Ayam Ketuk Sambal Ketagih.

Beliau berkata menerusi Kluster Fama @ MAHA 2018 itu, Perak memberi fokus kepada tiga daripada enam – Empayar Makanan, Coconut Street dan Agrobazaar Online.

Mengulas mengenai tema MAHA 2018 ‘Makanan Menyatukan Kita’, beliau berkata Empayar Makanan lebih ditekankan pada MAHA kali ini kerana ia dapat menonjolkan rencah rasa dan budaya setiap negeri.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata kerajaan negeri sudah bersedia sepenuhnya bagi MAHA 2018 termasuk penyediaan Pavilion Negeri Perak bagi memastikan kemenangan untuk kali keempat berturut-turut sempena pameran tersebut.

Loading...

“Secara keseluruhan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjangkakan 3.5 juta pengunjung akan hadir sempena MAHA kali ini dan kita menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus pengunjung akan berkunjung ke Pavilion Negeri Perak kali ini,” katanya.

Sementara itu seorang peserta MAHA 2018, Muhamad Luqman Halim, 29, yang pertama kali menyertai MAHA berkata beliau sangat teruja apabila dipilih oleh FAMA untuk menyertai acara tahunan terbesar itu.

“Saya harap apa dibawa kami ini diterima masyarakat dan ini merupakan platform bagi kami buat yang terbaik seterusnya berkembang maju dalam dunia perniagaan,” katanya yang akan membawa menu ‘Hipster Food’ berbentuk makanan barat.

Seorang lagi peserta Zalina Zakaria, 45, yang akan membawa sajian Nasi Ayam Ketuk Sambal Ketagih buat kali kedua berkata MAHA merupakan platform terbaik buat usahawan yang baharu hendak memulakan perniagaan.

— BERNAMA