51,217 daftar pemilih layak buang undi di PRK Sungai Kandis hari ini

51,217  daftar pemilih layak buang undi di PRK Sungai Kandis hari ini

Seramai 51,217 pengundi akan keluar membuang undi di 19 pusat pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N49 Sungai Kandis hari ini.

Pusat pengundian akan dibuka bermula tepat jam 8.00 pagi dan akan ditutup pada jam 5.30 petang.

Tinjauan dilakukan Malaysia Dateline pada lingkungan masa berbaki dari jam 3.00 petang hingga  tepat jam 12.00 tengah malam tadi (3 Ogos), melihat lebih dekat reaksi pengundi dan memerhati suasana disaat akhir kempen PKR dan BN.

Calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni calon nombor 3 di kertas undi, dilabelkan sebagai calon berlatarbelakangkan agama tetapi terpalit dengan janji-janji manifesto PH yang dianggap masih tidak ditunaikan dalam tempoh 100 hari.

Manakala calon BN Datuk Lokman Noor Adam calon nombor 1 di kertas undi pula  dilabelkan sebagai bukan calon tempatan, tidak berprinsip dalam perjuangan reformasi dan ketika dalam PKR sebelum melompat menyertai Umno.

Penolakan Ahli Majlis Tertinggi Umno itu, jelas dapat dilihat dalam ceramah mega penutup kempen dikalangan pimpinan utama PKR malam tadi, yang melihat Lokman Adam bukanlah pesaing kepada Mohd Zawawi.

Kata Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail:”Saya mahu setiap pengundi keluar dan tunaikan tanggung jawab mereka. Mesti undi calon PKR, bukan yang disebelah sana.” ujarnya.

Bahkan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga berkata, Lokman Adam bukan lawan yang sesuai dengan Mohd Zawawi di Sungai Kandis.

“Walaupun Umno mainkan lagu… ‘bagilah Umno satu’ (kerusi) tidak boleh…walaupun ‘satu’ jangan bagi kepada parti ‘perompak dan pencuri’ dalam negara hari ini.

“Jika nak dibandingkan Ustaz Zawawi dengan siapa tu..? Jangan sebut nama itu…kita letakkan calon yang terbaik, akhlak dan budi pekerti yang baik, mempunyai ilmu yang baik, keluarga yang baik dan mempunyai rekod cemerlang.

“Saya yakin Sungai Kandis akan kekal di tangan Pakatan Harapan,” ujarnya di hadapan lebih kurang 1,000 penyokong di Padang Tapak Rakan Muda, Sri Andalas lokasi penutup kempen Pakatan Harapan berakhir malam tadi.

Jangkaan kemerosotan keluar mengundi

Pada PRU14, peratusan keluar mengundi adalah 85.8 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 80 peratus pemilih berdaftar akan keluar mengundi hari ini.

Dun Sungai Kandis mempunyai 51,230 pengundi berdaftar dengan pengundi biasa seramai 51,217 dan 13 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Daripada 51,230 pemilih berdaftar itu, 24,998 adalah pengundi lelaki (48.8%) dan 26,232 merupakan pengundi wanita (51.2%).

Alex Lim

Dari segi komposisi kaum pula, 71.34% pengundi berdaftar di Dun itu terdiri daripada kaum Melayu, 15.69% kaum India dan 11.75% kaum Cina.

Beberapa pengundi Sungai Kandis yang ditemui juga meyakini peratusan keluar mengundi yang dijangkakan oleh SPR menurun 80% itu akan lebih rendah peratusannya pada PRK Sungai Kandis kali ini.

Ini didorong oleh faktor keyakinan pengundi bahawa kemenangan mana-mana calon tidak akan mengubah kerajaan negeri yang diterajui kerajaan Pakatan Harapan diperingkat Persekutuan.

Bagi Alex Lim yang akan membuang undi di Dewan Kelang Jaya hari ini, berkata, majoriti 12,480 yang pernah diperoleh Allahyarham Mat Shuhaimi Shafei pada PRU-14 akan berkurangan tetapi kemenangan tetap memihak kepada calon PKR.

Kamaruddin Ariffin

Beliau akui rakan-rakan sebangsanya di Sungai Kandis akan menyokong calon PKR kerana faktor calon tempatan dan mahukan satu pentadbiran kerajaan yang lebih telus di bawah kerajaan PH di Selangor berbanding di bawah pemerintahan BN dahulu.

“Saya yakin pengundi Melayu agak susah untuk buat pilihan mereka kali ini (tanpa calon Pas) mungkin mereka kecewa dan tak mahu keluar mengundi,” ujarnya yang menyakini pengundi Cina akan terus menyokong calon PKR kerana melihat kepada kejayaan PKR menerajui negeri Selangor dalam tempoh tiga penggal sejak 2003 (PRU12).

Begitu juga pandangan dilontarkan Kamaruddin Ariffin yang akan membuang undi di Sekolah Menengah Seri Andalas yakin calon PKR akan menang mudah.

“Pengundi di Sungai Kandis rasa selesa kerana yakin dengan personaliti calon yang bagus dan boleh diterima dikalangan pengundi Melayu,” ujarnya.

Robiah Jamaluddin

Kata salah seorang pengundi di Bukit Raja,  Robiah Jamaluddin :”Lokman Adam bukan pengundi luar kerana telah menetap di Selangor lebih 20 tahun… bukan seperti Ahli Parlimen Kota Raja (Mohamad Sabu), kami boleh kata dia pengundi luar bukan Lokman Adam,” tegasnya ketika bertemu pada kempen flasmob bagi kempen calon BN di Kampung Sungai Kandis.

Mungkin ada benarnya, kajian dilakukan Institut Darul Ehsan (IDE) berkaitan persepsi rakyat pada PRK Sungai Kandis menunjukkan 39% daripada pengundi mengharapkan calon adalah anak tempatan, hanya 13% memilih tokoh agama, manakala 48% lagi inginkan calon setanding dengan wakil rakyat terdahulu.

Seperti juga kata Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari dalam ceramahnya malam tadi, beliau menyebut dengan memberi undi kepada Mohd Zawawi ia adalah isyarat rakyat masih bersama Pakatan Harapan sebagaimana keputusan PRU-14 lalu.

“Rakyat masih bersama dalam proses perubahan dan rakyat mahu bersama membersihkan negara sesuai dengan semangat untuk mencipta landskap perubahan di negeri ini dan negara.

“Jika nak ditambah kerusi pembangkang daripada lima kepada enam mengambarkan pengundi lebih rela menyokong wakil rakyat kleptokrat,” kata Amiruddin yang juga Adun Sungai Tua.

Pada PRU-14 PKR memperoleh 51 kerusi Dun, BN (4) dan Pas (1).

PRK N49 Sungai Kandis merupakan PRK pertama diadakan selepas PRU14 susulan kematian wakil rakyat dari PKR Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie disebabkan kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote