520 kes ICU, tertinggi sejak Covid-19 membadai negara

Oleh Oleh FAZLI RADZI

Jumlah kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital membabitkan 520 kes setakat hari ini sekali gus jumlah tertinggi sejak pandemik Covid-19 mula membadai negara.

Angka tersebut antara 41,889 kes aktif dilaporkan setakat tengah hari tadi. Daripada 520 kes ICU hari ini, seramai 272 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan, kekal seperti semalam.

Dalam masa sama, lagi 3,780 kes baharu Covid-19 direkodkan menjadikan kumulatif pandemik tersebut mencecah 470,110 kes.

Daripada jumlah jangkitan hari ini, 3,778 kes merupakan kes tempatan iaitu 3,441 warganegara (91.1 peratus) dan 337 bukan warganegara (8.9 peratus) manakala baki dua lagi kes import melibatkan warganegara.

Sementara itu, terdapat 36 kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kematian disebabkan oleh Covid-19 di negara ini sebanyak 1,902 kes.

Kes kematian hari ini membabitkan 35 warganegara dan seorang warga asing melibatkan lapan kes di Selangor, Pulau Pinang (6), masing-masing lima kes di Sarawak dan Kedah, Kuala Lumpur (4), Perak (3), masing-masing dua kes di Negeri Sembilan dan Terengganu serta 1 kes kematian di Pahang.