Pemuda AMANAH sokong menteri tidak bawa pasangan dalam lawatan kerja

Pemuda AMANAH sokong menteri tidak bawa pasangan dalam lawatan kerja

Pemuda AMANAH Pulau Pinang menyambut baik kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa jemaah menteri tidak dibenarkan membawa pasangan mereka sekiranya melakukan lawatan kerja kurang daripada tujuh hari yang telah dikuatkuasakan serta merta.

Ketuanya, Mohd Saifullah Abdul Nasir ketika ditemui berkata, lawatan yang bersifat kerja sudah semestinya tidak sesuai untuk melibatkan keluarga khususnya isteri masing-masing.

Malah ujarnya lagi, budaya lama yang telah sebati dalam sistem pemerintahan kerajaan Umno dan BN sebelum ini sepatutnya tidak menjadi ikutan maupun amalan kepada jemaah menteri Pakatan Harapan (PH).

“Budaya lama yang baik boleh menjadi ikutan dan teladan untuk diteladani.

“Namun begitu seandainya budaya yang dipraktikkan oleh kerajaan terdahulu yang bersifat boros, membazir dan tidak mengikut etika yang telah ditetapkan seharusnya tidak harus dijadikan ikutan.

“Contoh kepimpinan melalui teladan mestilah datang dari kabinet sendiri terlebih dahulu sebelum ia dapat menjadi amalan kepada rakyat yang dipimpin, ” jelasnya lagi.

Menurut Saifullah lagi, tidak membawa isteri dan keluarga semasa lawatan tersebut seiring dengan matlamat kerajaan yang mahukan penjimatan dalam segala aspek.

Sehubungan itu katanya, kerajaan PH kini harus mempraktikkan perkara tersebut bagi memperlihatkan kesungguhan penjimatan yang sedang diusahakan.

Azmin dalam kenyataannya baru-baru ini turut menyatakan antara garis panduan yang ditetapkan adalah sekiranya lawatan kerja kurang tujuh hari, maka hanya dua pegawai sahaja dibenarkan mengikut menteri tersebut.

Walau bagaimana pun sekiranya menggunakan perbelanjaan sendiri dan lawatan kurang tujuh hari, isteri menteri tersebut dibenarkan untuk mengikuti lawatan menteri terbabit.

“Langkah penjimatan yang dilaksanakan oleh kerajaan PH membuktikan betapa seriusnya kedudukan kewangan negara.

“Rentetan itu cadangan tersebut membuktikan bahawa kerajaan kini bukan sahaja membataskan pelbagai keistimewaan yang sepatutnya diperolehi oleh jemaah menteri, sebaliknya memastikan kedudukan kewangan negara berada pada tahap yang lebih baik.

“Justeru itu, semua pihak harus mengambil peduli mengenai usaha bersungguh-sungguh yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan kearah penjimatan serta mengelakkan pemborosan yang pernah menjadi amalan kerajaan Umno dan BN, ” tambahnya lagi.