53 peratus kerusi Parlimen Melayu, Bumiputera luar bandar jadi penentu kerajaan

Akhbar MCA anggap pengundi Melayu luar bandar penentu kerajaan.

Akhbar milik MCA, Sunday Star pada 15 April lalu menegaskan segmen pengundi Melayu dan Bumiputera di kawasan luar bandar menjadi penentu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukannya pengundi Cina yang rata-rata berpihak kepada pembangkang.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group Berhad, Datuk Seri Wong Chun Wai berkata, pengundi Melayu dan Bumiputera terutamanya yang menetap di kawasan luar bandar bakal menentukan rupa bentuk kerajaan akan datang.

Menurutnya, terdapat 117 daripada 222 kerusi Parlimen di kawasan Melayu luar bandar di Semenanjung Malaysia.

Jumlah itu, jelasnya, bertambah ekoran pelaksanaan persempadanan semula kawasan pilihan raya berbanding 114 kerusi di kawasan majoriti Melayu ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Terdapat 19 kerusi masing-masing di Sabah dan Sarawak yang mempunyai lebih banyak pengundi Bumiputera,” dipetik daripada kolum Wong di On the Beat.

Beliau berpendapat penentuan PRU14 tidak akan terletak di tangan pengundi Cina di bandar-bandar yang secara tradisional bersikap anti pihak berkuasa.

“Walaupun penduduk bandar telah membuat bising, sama ada dalam perbincangan peribadi atau daripada banyak komen ‘berang’ dalam media sosial, ia akan bergantung kepada orang luar bandar yang senyap untuk membuat keputusan muktamad,” katanya.

Menurut Wong, jumlah 117 kerusi itu termasuk 52 di kawasan Felda yang dianggap sebagai kawasan heartland (teras) orang Melayu, dengan tumpuan utama penduduk di situ adalah isu-isu bersifat perkauman dan keagamaan.

“Tidak ramai penduduk bandar, dengan suhu politik yang semakin meningkat, mahu mendengar atau menerima pandangan bahawa PRU kali ini hanyalah satu pertarungan di kawasan teras orang Melayu di luar bandar,” katanya lagi.

9.6
OVERALL SCORE
: 9.0
4 user votes x 9.8