Mujahid seru penerima SPH kekalkan prestasi hafazan 30 juzuk al-Quran.

Mujahid seru penerima SPH kekalkan prestasi hafazan 30 juzuk al-Quran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa menyeru agar penerima tajaan Skim Pembiayan Hafiz (SPH) akan belajar bersungguh-sungguh bagi mengekalkan prestasi tinggi dalam pengajian, di samping turut mengekalkan hafazan 30 juzuk al-Quran.

Beliau berkata, amanah dan tanggungjawab seorang hafiz al-Quran,bukan hanya dijaga dari sudut hafazan sahaja, bahkan ia merupakan satu tuntutan pelaksanaan dan penghayatan dalam kehidupan sebagai generasi Quran.

“Jangan sesekali kita menyalahi segala tuntutan ajaran al-Quran dalam segala tindakan. Jadilah umpama al-Quran yang bergerak di muka bumi Allah SWT ini, sebagaimana generasi al-Quran yang telah digarap dan dididik oleh Rasulullah SAW.

“Harapan saya agar semua pelajar-pelajar yang mendapat tajaan SPH dapat meneruskan kecemerlangan sepanjang mengikuti pengajian serta dapat mencurahkan khidmat bakti kepada agama dan negara apabila tamat belajar nanti,” ujarnya.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa menyampaikan tajaan Skim Pembiayan Hafiz (SPH) kepada pelajar yang turut diperhatikan Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Tawaran Skim Pembiayaan Hafiz di Putrajaya semalam.

Beliau turut menyampaikan  SPH kepada 91 pelajar yang berjaya penyambung program di dalam dan luar negara. Penerima SPH 2018 itu terdiri daripada 67 orang Ijazah Sarjana Muda (dalam negara); 11 orang bagi Ijazah Sarjana (dalam negara); 1 orang bagi PhD (dalam negara) dan; 12 orang bagi Ijazah Sarjana Muda di Indonesia.

Dr Mujahid berkata, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6 juta setahun khusus bagi membiayai tajaan pelajar tahfiz yang menyambung pengajian dalam pelbagai bidang program pengajian yang diiktiraf oleh Kerajaan di dalam dan luar negara.

” Darul Quran Jakim juga telah berkolaborasi dengan Maahad Tahfiz Negeri-negeri bagi mendapatkan pengiktirafan Malaysia Qualification Agency (MQA). Begitu juga, Darul Quran Jakim telah memperkenalkan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada para huffaz yang telah menghafaz sebanyak 30 juzuk al-Quran. Pengiktirafan ini memberi peluang kepada pelajar berkenaan untuk memohon Tajaan SPH Jakim bagi menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kerajaan juga telah memperkenalkan dan akan meneruskan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) bagi memastikan pendidikan tahfiz terus berkembang maju selaras dengan bidang-bidang yang lain.

“DPTN juga akan sentiasa ditambahbaik dari semasa ke semasa bagi memperkasa tadbir urus institusi tahfiz di Malaysia,” ujarnya.

Turut hadir antaranya Ketua Pengarah Jakim Datuk Mohamad Nordin Ibrahim,Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Datuk Paimuzi Yahya,Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Datuk Mahzan Mahyudin dan Timbalan Ketua Pengara Dasar  Hakimah Mohd Yusof.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas kejayaan menganjurkan Majlis Penyampaian Tawaran Skim Pembiayaan Hafiz 2018.

Katanya Skim Pembiayaan Hafiz ini diperkenalkan atas tiga objektif utamanya iaitu memartabatkan serta menarik minat masyarakat mengikuti pendidikan tahfiz al-Quran; membantu menjana modal insan dari kalangan penghafaz al-Quran; dan membantu golongan penghafaz al-Quran bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Dr Mujahid turut merakamkan tahniah kepada semua pelajar yang telah terpilih mendapat tajaan SPH di kalangan para pelajar yang sedang dan akan mengikuti pengajian di dalam dan luar negara.

“Harapan saya semoga biasiswa SPH yang bakal diterima ini akan menjadi suntikan motivasi kepada para pelajar agar dapat menamatkan pengajian dengan jayanya dan seterusnya dapat memberikan sumbangan yang amat besar kepada agama dan negara,” ujarnya.