Malaysia Dateline

Perletakan jawatan presiden PAFA ditolak

Mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) hari ini sebulat suara menolak permohonan peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim sebagai presiden PAFA.

Naib Presiden I PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata jawatankuasa sama turut memberi tempoh 14 hari kepada Hasnul untuk mempertimbangkan semula peletakan jawatan itu yang dilakukan pada 8 Nov lalu.

“Kami beri tempoh itu untuk beliau mempertimbangkan semula cadangan kami ini secara rasional. Bagi beliau (Hasnul) bertenang dan berfikir.

“Bagi kami, beliau antara individu penting yang bertanggungjawab bawa balik Piala Malaysia. Takkan kita tak boleh bagi dia peluang? Permohonan maaf pun sebelum ini beliau dah buat dan kita seharusnya memandang ke hadapan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pejabat PAFA di sini hari ini.

Sebelum ini, Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Perak  mengumumkan peletakan jawatan selaku Presiden PAFA selepas memegang tampuk tertinggi badan induk itu sejak 21 Julai lalu.

Muhammad Yadzan berkata pihaknya juga menolak peletakan jawatan Hasnul itu kerana beliau mempunyai isi dan misi yang baik untuk diketengahkan khususnya kepada kemajuan bola sepak Perak.

“Selain itu, kedudukan beliau sebagai exco kerajaan negeri juga memberi kelebihan kepada kita terutama dalam menarik penajaan dan sebagainya,” katanya.

Mengulas sekiranya Hasnul menolak cadangan yang dikemukakan, katanya, selaku naib presiden, beliau akan memangku jawatan berkenaan sepertimana terkandung dalam undang-undang PAFA.

“Kita tiada calon alternatif memandangkan lantikan jawatan presiden ini adalah melalui persetujuan exco-exco PAFA dalam mesyuarat agung yang telah diadakan. Jadi, untuk sementara saya memangku dahulu jawatan presiden berdasarkan faktor senioriti jawatan (naib presiden),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Yadzan berkata, pihaknya menerima dengan hati terbuka peletakan jawatan Timbalan Presiden PAFA, Datuk Adly Shah Ahmad Tah yang dibuat pada 8 Nov lalu.

Katanya, alasan utama peletakan jawatan berkenaan adalah kerana beliau ingin memberi tumpuan penuh kepada kerjaya dan perniagaan yang diceburi.

“Kami terima sebab ini membabitkan sumber mata pencarian (perniagaan) beliau. Jawatan selaku timbalan presiden ini pula tidak bergaji dan secara sukarela. Jadi kami sebulat suara menerimanya,” katanya.

— BERNAMA