Malaysia Dateline

55 kenderaan Singapura diarah patah balik gara-gara tak patuhi syarat 3/4 tangki penuh

Selepas tular gelagat pemandu di Singapura yang mengisi minyak RON95 di Malaysia, dilaporkan pula sebanyak 55 buah kenderaan bernombor pendaftaran negara itu telah diarahkan berpatah balik di pusat pemeriksaan sempadan Singapura-Malaysia gara-gara tak patuhi syarat 3/4 tangki penuh.

Ini kerana menurut laporan agensi berita CNA, kenderaan Singapura yang hendak memasuki Malaysia perlu mematuhi peraturan jumlah minimum bahan bakar sekurang-kurangnya tiga perempat.

Di bawah Akta Kastam 1960, kenderaan yang didaftarkan di Singapura dikehendaki mempunyai jumlah minimum bahan api kenderaan (sekurang-kurangnya tiga perempat daripada tangki) apabila meninggalkan Singapura melalui pusat pemeriksaan darat. Ini biasanya dirujuk sebagai ‘peraturan tangki tiga suku’.

Menurut undang-undang Kastam Singapura, pemandu yang gagal mematuhi peraturan tersebut akan didenda sebanyak S$500 (RM1,554) atau dibicarakan di mahkamah.

Bagaimanapun jika mereka tidak mahu dikenakan hukuman berat, mereka boleh berpatah balik dengan membuat pusingan-U pada pusat pemeriksaan kastam terakhir sebelum keluar dari Singapura.

Elak kenderaan Singapura isi minyak di Malaysia

Dalam masa yang sama, peraturan ‘tangki tiga suku penuh’ ini difahamkan untuk mengelakkan kenderaan-kenderaan yang mempunyai nombor pendaftaran Singapura mengisi minyak di Malaysia.

Sementara itu di Malaysia pula, portal Shin Min Daily News melaporkan sekurang-kurangnya 500 buah kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura telah mengisi bahan api di sebuah stesen minyak di Johor Bahru dalam masa sehari.

Dalam pada itu, pihak berkuasa KPDNHEP Johor telah menjalankan pemantauan di stesen minyak sepanjang Lingkaran Dalam, Jalan Tampoi, Senai dan Kulai bagi memastikan kenderaan dengan nombor pendaftaran asing tidak menyalah guna petrol RON95.

Tahukah anda, nilai satu liter RON95 di Singapura adalah bersamaan dengan RM9.32 duit kita?

Baca juga: https://malaysiadateline.com/bukan-tan-sri-dan-bukan-tun-lim-kit-siang-bersara-dengan-sifar-kes-pecah-amanah/

Baca juga: https://themalaysialife.com/lucinta-luna-ubah-muka-bak-lisa-blackpink-sanggup-ke-korea-untuk-pembedahan-plastik/