Malaysia Dateline

Kuarters ATM yang rosak akan dibaik pulih

Kementerian Pertahanan akan membaik pulih semua kuarters Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang rosak di seluruh negara bagi membolehkan pegawai dan pasukan keselamatan itu mendiami rumah yang lebih selesa.

Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong berkata ketika ini pihaknya sedang membuat penilaian dan penelitian terhadap unit kuarters yang rosak itu sebelum memulakan projek membaik pulIh berkenaan.

“Kementerian Pertahanan memang mengambil maklum berhubung beberapa kuarters ATM yang rosak dan sedang cuba selesaikan perkara itu, kami akan baiki sebanyak mungkin kerana mengikut maklumat yang diperoleh banyak rumah yang rosak.

“Saya tiada angka untuk kesemuanya namun bagi kuarters untuk divisyen dua sahaja, terdapat 7,667 unit kuarters di seluruh negara dan 4,748 unit daripadanya dalam keadaan baik serta diduduki anggota ATM. Di Pulau Pinang terdapat 1,084 unit rumah dan 229 rosak serta perlu dibaik pulih,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Divisyen Dua Infantri Malaysia, Kem Tun Razak di sini hari ini.

Lawatan kerja itu turut disertai Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang ingin mengetahui dan memahami keadaan kem serta tugas pegawai dan anggota tentera di Divisyen Dua Infantri Malaysia. Mereka disambut oleh Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

Liew berkata pihaknya percaya kos untuk membaik pulih kuarters yang rosak lebih murah dan cepat berbanding jika membina kuarters baharu untuk pegawai serta anggota ATM.

“Saya tidak dapat maklumkan kos keseluruhan atau peruntukan sebenar untuk membaik pulih kuarters yang rosak itu hari ini kerana kami perlu melihat, menilai dan meneliti terlebih dahulu semua kuarters yang rosak, lagipun setiap unit kerosakannya tidak sama,” katanya.

Sementara itu, katanya kunjungan Chow ke Divisyen Dua Infantri Malaysia, Kem Tun Razak tersebut adalah penting bagi memberikan pendedahan berhubung tugas ATM serta memahami cabaran dan peranan tentera.

Katanya pihaknya akan mencadangkan agar  ATM mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan selain masyarakat bagi memberi pendedahan kepada mereka tugas sebenar pegawai dan anggota tentera.

“Ramai orang tidak faham dan tahu mengenai tugas ATM dan saya rasa perlu lebih banyak program pertemuan dan komunikasi antara pihak tentera dengan orang luar selepas ini supaya mereka memahami, mengetahui serta tahu peranan tentera,”katanya.

Dalam pada itu, Chow berkata dalam lawatan kerja tersebut, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut mengadakan perbincangan dengan Divisyen Dua berhubung beberapa isu tertentu serta akan cuba menanganinya secara bersama.

Katanya selain itu pihaknya juga akan menjalinkan kerjasama, antaranya kerajaan negeri dan komuniti bersama ATM supaya dalam era yang baharu ini dapat bersama-sama menggembleng tenaga untuk membantu serta memajukan negara.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Divisyen Dua yang akan mengaturkan taklimat kepada barisan exco kerajaan negeri supaya mereka faham isu-isu dalam negeri serta bersama-sama menangani isu tertentu agar keselamatan Pulau Pinang sentiasa dalam keadaan aman dan damai.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada ATM atas peranan mereka yang sentiasa menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan seluruh negara,” katanya.

— BERNAMA