Yayasan UTP peruntuk RM6.7 juta kepada pelajar kurang berkemampuan

Yayasan UTP peruntuk RM6.7 juta kepada pelajar kurang berkemampuan

Yayasan Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menyalurkan bantuan kewangan sejumlah RM6.7 juta kepada lebih 1,000 pelajar yang kurang berkemampuan sejak penubuhannya pada 2010.

Naib Canselor UTP Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata sepanjang tempoh itu juga, sejumlah RM29 juta biasiswa penuh diperuntukkan kepada 176 pelajar menerusi yayasan berkenaan.

Katanya, sebanyak RM4 juta berjaya dikumpulkan menerusi Tabung Amanah Zakat UTP dan telah mengagihkan kepada 1,342 pelajar yang layak menerima bantuan yang mana 90 peratus daripadanya merupakan pelajar daripada golongan B40.

“Sejak awal tahun, Tabung Amanah Zakat UTP telah memulakan Program Khas B40. Melalui program khas ini, seramai 120 pelajar daripada golongan berkenaan telah memulakan pengajian asasi kejuruteraan dan teknologi dengan tajaan penuh.

“Bantuan tajaan ini merangkumi yuran pengajian, yuran hostel, yuran tahunan serta insurans dan elaun bulanan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen kali ke-18 di Dewan Canselor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Ibrahim berkata penuntut UTP turut mencapai pelbagai kejayaan dalam aktiviti kebudayaan, kesenian, sukan serta khidmat masyarakat sepanjang tahun ini.

“Antara kejayaan itu ialah juara dalam ‘Business Plan Competition And Global Business Champion Sales Star Competition’ di China dan mendapat tempat pertama dalam ‘Best Student Chapter Worldwide’ di Association of Geoscientists and Engineers ( EAGE) Annual Conference di Copenghagen, Denmark,” katanya.

Menurutnya, UTP turut giat menjalinkan kolaborasi dengan pelbagai institusi dan universiti dari dalam dan luar negara antaranya Filipina, Indonesia dan Brunei bagi memperkasakan proses pembelajaran dan pengajaran di UTP seterusnya menyumbang ke arah pembangunan sumber manusia dan penyelidikan serta pembangunan.

Loading...

Pada majlis itu, Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh telah dimasyhurkan sebagai Pro Canselor UTP yang baharu.

Seramai 1,659 graduan menerima ijazah masing-masing yang mana 151 graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, 133 menerima Ijazah Sarjana manakala 1,375 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda pada majlis konvokesyen yang berlangsung selama sehari itu.

— BERNAMA