Hospital Yayasan P.Pinang akan jadi realiti

Hospital Yayasan P.Pinang akan jadi realiti
Model bangunan Hospital YIPP yang akan siap dibina tidak lama lagi.

Mohd Izmir Mohd Jamal

Hospital Islam Pulau Pinang yang akan dibina hasil kerjasama Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) serta Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) setinggi empat belas tingkat itu, akan siap dalam tempoh 36 bulan tidak lama lagi.

Dengan siapnya hospital tersebut ia akan mempunyai 200 katil dan menjadi salah satu pusat perubatan patuh syariah di negeri ini.

Demikian dinyatakan oleh Pengurus Besar YIPP Medic Sdn Bhd, Mohd Izmir Mohd Jamal ketika ditemui semalam.

Jelas beliau lagi, hospital tersebut yang akan dibina di Bayan Baru amat strategik kerana ia berada ditengah-tengah pusat komersial dan begitu hampir dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.

“Ia merupakan hospital yang berkonsepkan patuh syariah serta menerapkan perubatan berasaskan Islam.

“Wad lelaki dan perempuan sudah pasti akan diasingkan, manakala kakitangan bertugas juga menutup aurat sebagai mematuhi konsep patuh syariah yang ditetapkan.

“Sementara itu doktor wanita disediakan bagi wad bersalin serta turut menyediakan 20 buah katil wakaf bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk mendapat rawatan, ” tegasnya lagi.

Malah kata Mohd Izmir lagi, ia akan turut menempatkan pakar dalam pelbagai bidang perubatan.

Katanya, antara bidang kepakaran yang akan disediakan ialah pakar kardiologi, endoskopi, pediatrik serta ginekologi.

“Dengan kewujudan hospital ini ia akan membuka peluang pekerjaan yang besar khususnya kepada penduduk negeri ini.

“Ia termasuklah bagi bidang pengurusan, perubatan dan juga pembuatan bagi mengisi kekosongan tidak lama lagi.

“Siapnya hospital ini nanti akan menjadi salah satu daya tarikan pelancong perubatan bagi mendapatkan rawatan patuh syariah khususnya bagi penduduk tempatan serta negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan juga Singapura, ” tambahnya.