Malaysia Dateline

56 juta penduduk di lapan zon konflik seluruh dunia perlu bantuan makanan

Kira-kira 56 juta penduduk di lapan zon konflik di seluruh dunia amat memerlukan bantuan makanan, lapor agensi berita Anadolu memetik laporan pada Isnin.

Berdasarkan laporan disediakan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Program Makanan Sedunia (WFP) untuk Majlis Keselamatan Pertubugan Bangsa-Bangsa Bersatu, krisis makanan di Yaman, Sudan Selatan, Afghanistan, Congo dan Afrika Tengah adalah paling mendesak.

Di tiga lagi negara Somalia, Syria dan Lembangan Tasik Chad pula menyaksikan terdapat sedikit peningkatan jaminan makanan.

Menurut laporan itu lagi, keadaan dijangka menjadi lebih buruk pada 2019 di seluruh Lembangan Tasik Chad

“Kesan keganasan bersenjata ke atas kehidupan manusia menyaksikan jutaan penduduk hilang mata pencarian,” kata pengarah FAO, Jose Graziano da Silva.

Pengarah Eksekutif WFP David Beasley pula mahu “akses yang lebih baik dan cepat di semua zon konflik” bagi membolehkan bantuan sampai kepada lebih ramai yang memerlukan.

“Tetapi apa yang lebih diperlukan penduduk di kawasan dilanda konflik ialah peperangan berakhir,” ujar beliau.

Selain itu, keganasan terhadap petugas bantuan kemanusiaan semakin meningkat, memaksa pertubuhan bantuan menghentikan operasi mereka, menyukarkan lagi bantuan disalurkan. — BERNAMA