Malaysia Dateline

Laporan 1MDB diubah, Najib tahu tentang ini, kata Ketua Audit Negara

Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan bahawa Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah diubah dan bekas perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak tahu tentang perkara ini.

Beliau berkata dua perkara penting yang tidak dimasukkan dalam laporan itu – pertama mengenai kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan kedua berkenaan status kewangan 1MDB

Madinah berkata arahan untuk membuat mengubah fakta berhubung kehadiran Jho Low di Mesyuarat 1MDB itu dibuat oleh bekas ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri, Tan Sri Shukry Salleh pada 26 Feb 2016 atas alasan ianya sensitif dan untuk mengelak fakta diputar-belit oleh pihak pembangkang ketika itu.

Madinah berkata beliau telah menyampaikan taklimat kepada mesyuarat Jemaah Menteri mengenai pindaan kepada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan berkenaan dimuktamad dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016.

“Laporan akhir Pengauditan 1MDB sebelum pindaan telah diserahkan kepada Surujanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam kenyataan itu Madinah mendedahkan beberapa insiden melibatkan arahan supaya perenggan tertentu digugurkan atau dipinda.

Menurutnya berdasarkan kronologi yang disediakan pasukan Audit 1MDB Jabatan Audit Negara Malaysia, Shukry pada 20 Februari 2016, meminta pasukan audit itu untuk mengemukakan laporan akhir audit 1MDB untuk dibincangkan bersama Najib.

Beliau berkata dalam satu mesyuarat dengan Najib pada 22 Februari 2016 di pejabat Perdana Menteri, Najib telah mengarahkan pengguguran perenggan yang mengandungi dua versi Penyata Kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dan mengarahkan siasatan dijalankan oleh pihak penguatkuasa.

“Sehubungan itu, pembentangan laporan berkenaan kepada PAC yang dijadualkan pada 24 Februari 2016 ditangguhkan kepada 4 Mac dan 7 Mac 2016,” kata Madinah.

Beliau berkata mesyuarat itu turut dihadiri bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa, Shukry dan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Madinah seterusnya berkata pada 23 Februari 2016, dalam mesyuarat di pejabat KSN ketika itu, pasukan Audit 1MDB dimaklumkan bahawa kerajaan mengkategorikan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebagai satu krisis.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Ali, Shukry dan Ambrin, kata beliau.

Laporan akhir audit 1MDB dibincangkan pada 24 Feb dan hasil perbincangan itu, beberapa perenggan lagi dalam laporan berkenaan telah diarah supaya digugurkan dan dipinda.

Mesyuarat itu pula dihadiri oleh Ali, bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas setiausaha sulit kanan kepada KSN dan bekas pengarah audit.

Madinah berkata pada 25 Februari 2016, pasukan Audit 1MDB diarahkan oleh Ali untuk menghadiri mesyuarat di pejabatnya bersama dengan Arul Kanda bagi meneruskan perbincangan mengenai laporan itu yang mana beberapa lagi penemuan yang dilaporkan telah digugurkan dan dipinda.

Katanya pada 26 Feb, Shukry mengarahkan bekas pengarah audit untuk menggugurkan perenggan berkaitan kehadiran Jho Low dalam salah satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB atas alasan ianya sensitif dan bagi mengelak fakta diputar belit oleh pihak pembankang.

Madinah berkata pada 28 Februari bekas setiausaha sulit kanan kepada Ali telah meminta laporan yang dipinda itu diserahkan kepada beliau dan pada 29 Februari 2016, Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang telah dipinda diserahkan kepada Ali.

Menurutnya pada 1 Mac 2016, Ali kemudian mengarahkan pasukan Audit 1MDB sekali lagi hadir ke pejabat beliau untuk membincangkan semula laporan akhir yang telah dipinda.

“Semasa sesi ini bekas presiden dan CEO Kumpulan 1MDB (Arul Kanda) hadir dan beliau telah menyemak semula laporan itu secara terperinci bersama pasukan audit dan meminta dibuat beberapa perubahan (gugur/pinda) lagi kepada laporan itu,” kata Madinah.

Madinah berkata pada 2 Mac 2016, Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dicetak dan seterusnya pada 3 Mac dua naskah laporan itu diserahkan bekas setiausaha sulit kanan kepada Ali.

Katanya pada 4 Mac dan 7 Mac 2016 Ambrin membentangkan laporan itu di hadapan PAC.- BERNAMA.