57 bekas ahli Pas sertai AMANAH kerana yakin dengan perjuangan

Mohd Khomeini (kiri) menerima borang keahlian AMANAH dari Abdul Khalid Yahya yang mewakili 57 bekas ahli Pas yang keluar parti.

Yakin dengan perjuangan yang sedang dibawa oleh AMANAH, seramai 57 bekas ahli Pas telah mengambil tindakan berani keluar parti dan menyerahkan borang keahlian mereka kepada Ketua Pemuda AMANAH kawasan Arau, Mohd Khomeini Halipah.

Abdul Khalid Yahya yang mewakili ahli Pas tersebut berkata, keputusan yang diambil merupakan suatu tindakan drastik kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Pas Pusat.

Malah katanya, dasar Pas yang sudah jauh menyimpang dan tersasar dari matlamat asal termasuklah berbaik-baik dengan Umno menjadi pendorong mereka mengambil tindakan meninggalkan Pas beramai-ramai.

Mohd Khomeini Halipah

Sementara itu Mohd Khomeini yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perlis pula berkata, tindakan kesemua ahli Pas yang telah meninggalkan parti tersebut baru-baru ini adalah jalan terbaik bagi meneruskan perjuangan.

“AMANAH kawasan Arau telah lama turun padang dan menjalankan aktiviti kebajikan tanpa mengambil kira fahaman dan ideologi politik mana-mana golongan masyarakat.

“Kita sering mendekati masyarakat dan mendengar luahan rasa serta rintihan kepincangan hidup yang mereka alami sehingga kini.

“Melalui pelbagai saluran yang ada, AMANAH kawasan mengambil inisiatif dengan menyalurkan pelbagai sokongan bagi meringankan beban masyarakat, ” tegasnya.

Ujarnya lagi, selain turun padang sehingga keperingkat akar umbi, AMANAH kawasan dan juga negeri sering menganjurkan pelbagai program termasuklah bersama-sama dengan remaja, pelajar, wanita serta juga masyarakat veteran.

Beliau juga berkata aktiviti gorong royong membersihkan masjid dan kubur, membantu mangsa banjir dan ribut serta mendekati warga emas, anak yatim dan golongan asnaf menjadi rutin yang sering dilaksanakan hingga kini.

“Boleh dikatakan mendekati masyarakat dari pelbagai golongan menjadi rutin yang telah lama diamalkan.

“Pendekatan yang kita laksanakan terbukti mampu membawa imej Islam yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat.

“Hasilnya kini mereka menyedari bahawa AMANAH mempunyai keupayaan untuk menjadi salah sebuah parti Islam bagi membela nasib seluruh masyarakat, ” ujarnya.

Tambah Mohd Khomeini, ramai lagi bekas ahli Pas serta ahli baru akan menyertai AMANAH dalam tempoh terdekat setelah terbukti kemampuan parti ini untuk sama-sama memacu pembangunan dan keperluan rakyat setelah menerajui kepimpinan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke 14 yang lalu.

6.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 10.0