Malaysia Dateline

57,191 orang diberi kewarganegaraan dari 2008

Seramai 57,191 individu bertaraf pemastautin tetap (MyPR) diberi kerakyatan Malaysia dalam tempoh 10 tahun dari 2008 hingga 30 September 2018 di seluruh negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, bagi tempoh yang sama juga, rakyat daripada tiga negara asal tertinggi yang telah menerima anugerah warganegara Malaysia adalah Indonesia seramai 24,005 orang.

“Kedua adalah dari India seramai 12,097 orang, China seramai 7,242 orang dan lain-lain negara seramai 13,847 orang,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) mengenai jumlah pertambahan warganegara baru yang diberikan kepada pemegang status pemastautin tetap (PR) sejak 10 tahun lalu.

Menurut beliau seramai 1,244 pemegang MyPR telah dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Persekutuan daripada Mei 2018 sehingga 30 Sept 2018. – Bernama