Malaysia Dateline

57,710 unit Rumah Selangorku diluluskan untuk pembinaan

Kerajaan Selangor telah meluluskan sebanyak 144 projek perumahan membabitkan 57,710 unit Rumah Selangorku dalam tempoh 2016 sehingga 28 Feb lepas.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Haniza Mohamed Talha berkata daripada jumlah itu, tiga projek melibatkan 888 unit Rumah Selangorku telah siap dibina dan kunci telah diserahkan kepada pemilik.

“…dan daripada jumlah itu juga, 21 projek melibatkan 11,396 unit sedang dalam pembinaan manakala baki 90 projek melibatkan 45,426 unit masih dalam perancangan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) yang bertanyakan bilangan unit Rumah Selangorku yang sudah dibina di negeri itu serta bilangan pemohon bagi projek perumahan terbabit.

Mengulas lanjut, Haniza berkata mengikut rekod, Dengkil mempunyai jumlah projek perumahan Rumah Selangorku tertinggi iaitu sebanyak 9,178 unit diikuti Rawang (7,842 unit), Klang (5,898 unit), Petaling (4,479 unit), Tanjung Dua Belas (4,100 unit), Ijok (3,706 unit) dan Damansara (3,260 unit).

“Di Beranang pula ialah sebanyak 2,726 unit, Kajang (2,253 unit), Morib (2,158 unit) dan Bukit Raja (2,182 unit).

“Antara kawasan yang turut dibina Rumah Selangorku antara 100 hingga 2,000 unit ialah di Cheras, Ulu Yam, Ampang, Panchang Bendena, Serendah, Semenyih, Sungai Buloh, Hulu Kelang, Kapar dan Jeram,” katanya.

Katanya bagi tempoh 2016 hingga 1 Mac lalu, seramai 123,352 pemohon gagal mendapatkan Rumah Selangorku.- BERNAMA