’58 kali pergi kenduri kahwin’ dalam kad laporan MP Pas jadi bahan kritikan netizen

Oleh KIM SYAZIE

Kad laporan 100 hari Ahli Parlimen Pas di Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, mengundang perbincangan hangat di pengguna media sosial.

Menerusi kad laporan yang dikongsi, Siti Mastura merekod beberapa aktiviti sepanjang 3 bulan lebih ini, dengan antaranya membabitkan bantuan kepada mangsa musibah dan juga menghadiri majlis-majlis perkahwinan.

Ramai mempersoal kewajaran Ahli Parlimen itu meletakkan program ke kenduri perkahwinan sebagai salah satu pencapaian.

“Apa benda ini? Ziarah? Program? Majlis Kahwin?

“Benda ni lagi banyak dari kerja hakiki Ahli Parlimen. Ni ke teknokrat?,” soal pengguna Twitter @xatyrosdi

Rentetan daripada ciapan itu, ramai berpendapat adalah lebih baik jika wakil rakyat hanya meletakkan pencapaian besar yang dicapai dalam membantu masalah rakyat, berbanding meletakkan program ziarah rakyat.

Ini kata mereka lebih membantu rakyat untuk memantau pergerakan wakil-wakil rakyat.

Pada masa sama, ada juga pengguna Twitter yang memberitahu bahawa penduduk di kawasan luar bandar sebenarnya lebih memilih jika wakil rakyat mereka hadir ke majlis-majlis kenduri perkahwinan dan ziarah orang kampung.

Ianya seperti satu ‘personal touch’ antara wakil rakyat dan penduduk di kampung-kampung.

“Baru tahu yang sebenarnya itulah yang dilihat pengundi-pengundi luar bandar. Diaorang lebih prefer orang yang selalu tunjuk muka di majlis-majlis yang libatkan orang kampung. Diaorang tak kisah sangat pasal kerja tu jalan ke tak. Bila wakil rakyat tu diaorang selalu nampak, dia orang dah rasa orang tu ada dengan dia orang. Ada ‘personal touch’,”.

“Ziarah orang mati dan kenduri kahwin, tak payah jadi ahli parlimen pun boleh buat. Tunjuk real achievements (pencapaian sebenar) lah,” kata pengguna Twitter lain.

Baca juga: 34 kali hadiri kenduri kahwin pada Disember? Kad laporan Idris Ahmad dikritik macam KPI ketua kampung