Pertumbuhan baharu menerusi penyepaduan teknologi baharu perlu dilakukan

Pertumbuhan baharu menerusi penyepaduan teknologi baharu perlu dilakukan

Usaha meninjau sumber nilai, pertumbuhan baharu menerusi penyepaduan teknologi baharu perlu dilakukan berikutan kepesatan transformasi sektor pembuatan global yang dipacu teknologi Industri 4.0.

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking menggesa kalangan pengusaha syarikat untuk berusaha meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai berikutan manfaat Industri 4.0 terhadap sektor swasta serta industri.

“Di peringkat global misalnya, sektor automotif menjadi penggerak utama pelaksanaan robotik dan Internet of Things (IoT) yang boleh dilihat dalam sektor pembuatan mahu pun perkhidmatan.

“Aplikasi seperti Sistem Bantuan Pemanduan Terkini, Sisitem Pengurusan Pemanduan, teknologi kamera dan sebagainya yang terdapat dalam kereta moden, akan turut mewujudkan perniagaan dan peluang pekerjaan baharu menerusi mobiliti yang terhubung,” katanya berucap pada majlis Anugerah Kereta Tahunan Malaysia (COTY) 2018 di sini, malam ini.

COTY 2018 mengiktiraf penyumbang tunggal paling berpengaruh negara terhadap usaha empat dekad lonjakan perindustrian Malaysia, termasuk meningkatkan penembusan teknologi serta penyertaan bakat dan perniagaan tempatan dalam sektor automotif.

Acara itu turut mengiktiraf Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penerima pertama Anugerah Automotif Seumur Hidup COTY.

Ini berikutan teras wawasan industri beliau terhadap Malaysia telah membawa kepada pembentukan industri automotif negara menerusi penubuhan Perbadanan Industri Berat Malaysia atau HICOM di awal 1980-an, sekali gus mencetuskan jalinan kerjasama automotif melalui rantaian bekalan industri berkenaan.

Anugerah utama lain menyaksikan Peugeot 3008 1.6 Active dinobat Kereta Terbaik Malaysia 2018 manakala Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad merangkul anugerah Personaliti Automotif 2018.

Selain itu, Perodua Myvi 1.5 meraih anugerah Kereta Pertama (Entry Level) Terbaik, Volkswagen Golf 2.0 GTi yang dipertingkat (Kereta Hatchback Terbaik), Subaru XV 2.0i-P AWD (Kereta SUV Terbaik) manakala SUV Saiz Pertengahan Terbaik diungguli Mitsubishi Outlander 2.4 4WD.

Dalam pada itu, Darell juga mengumumkan penjenamaan semula Institut Automotif Malaysia sebagai Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Beliau menyifatkan langkah penjenamaan semula itu dapat memperluas skop agensi kementerian itu sebagai pusat tumpuan, penyelarasan dan pemikir utama bagi mempertingkat daya saing industri automotif serta mobiliti secara menyeluruh, termasuk sistem pengangkutan pintar dan sistem perkhidmatan berkaitan menerusi pelaksanaan robotik dan IoT.-BERNAMA