Utamakan kesihatan Muhammad Adib sebelum rekod keterangan,kata polis

Utamakan kesihatan Muhammad Adib sebelum rekod keterangan,kata polis

Datuk Mazlan Mansor

Polis mengutamakan kesihatan Muhammad Adib Mohd Kassim sebelum membuat keputusan untuk merekod keterangan anggota bomba tersebut yang kini masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Muhammad Adib sebelum ini diserang perusuh di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, awal pagi 27 November lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, kesihatan Muhammad Adib perlu diutamakan.

“Buat masa ini kita masih belum terima signal daripada pihak hospital berhubung perkara itu.

“Biar Adib habiskan dengan rawatan hospital terlebih dulu sebelum tindakan susulan,” katanya kepada pemberita di Dewan Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini, lapor Sinaronline.

Dalam kejadian itu, Mohammad Adib, 24, dilaporkan ditarik perusuh di kawasan kuil ketika pasukannya berundur dari lokasi.

Dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) termasuk van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki Muhammad Adib diserang dengan balingan batu dan objek lain menyebabkan berlaku kerosakan pada cermin serta badan kenderaan itu.

Dalam situasi panik untuk berundur, mangsa telah ditarik keluar dari tempat duduk penumpang van EMRS oleh perusuh dan dipercayai dipukul sehingga tidak sedarkan diri.

Muhammad Adib kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke IJN.