Malaysia Dateline

6 harapan MP KL kepada Shahidan Kassim sebagai Menteri Wilayah Persekutuan

Ahli Parlimen Seputeh, Kuala Lumpur, Teresa Kok menyenaraikan enam harapan terhadap Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berharap Shahidan mentadbir ibu negara itu bersama dengan ahli Parlimen Kuala Lumpur demi merealisasi impian Kuala Lumpur sebagai bandar bertaraf dunia (World -Class City).

Antara harapan beliau adalah:

1) Saya berharap YB Datuk Seri Shahidan sedar tentang usaha Kerajaan Pusat selama ini yang ingin menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar Bertaraf Dunia (world-class city). Jadi, Menteri Wilayah Persekutuan mesti mempunyai minda yang berwawasan global untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar yang menarik peniaga dan pelancong dari seluruh dunia, dan menunaikan konsep dan slogan “Malaysia Truly Asia”. Untuk mencapai tujuan ini, Menteri Wilayah Persekutuan haruslah mengadakan lebih rundingan dengan pengusaha di pelbagai sektor di Kuala Lumpur, khususnya sektor restoran/F&B dan sektor pelancongan yang menarik kemasukan dana asing, sebelum kerajaan melaksanakan apa-apa peraturan baru termasuk SOP Covid yang mungkin akan menjejaskan bisnes mereka.

2) Saya berharap beliau boleh menjadi Menteri Wilayah Persekutuan yang mesra rakyat dan mesra dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur. Saya berharap beliau tidak akan menjejak langkah bekas Menteri Wilayah Persekutuan YB Tan Sri Annuar Musa yang elak berjumpa dengan Ahli Parlimen PH di Kuala Lumpur. Tan Sri Annuar Musa hanya pernah mengadakan mesyuarat khas dengan Ahli Parlimen Kuala Lumpur sekali sahaja melalui talian pada bulan lepas sahaja.

3) Saya berharap YB Datuk Seri Shahidan Kassim boleh mencontohi bekas Menteri Wilayah Persekutuan YB Datuk Seri Utama Tengku Adnan dan YB Khalid Samad untuk mengadakan mesyuarat berkala dengan Ahli Parlimen Kuala Lumpur bersama pegawai kanan DBKL. Mesyuarat ini memudahkan wakil rakyat Kuala Lumpur untuk membentangkan masalah dan isu di kawasan kami masing-masing di samping terima maklum balas daripada pegawai DBKL pada waktu yang sama.

4) Saya berharap YB Datuk Seri Shahidan Kassim boleh turun padang untuk memahami masalah rakyat pelbagai kaum di Kuala Lumpur. Saya juga berharap beliau boleh mengambil pandangan daripada wakil rakyat di Kuala Lumpur sebelum membuat apa-apa keputusan yang penting, seperti kelulusan projek pembangunan dan lain-lain perkara di kawasan kami masing-masing.

5) Memandangkan Menteri Wilayah Persekutuan juga merupakan pengerusi mesyuarat MKN Wilayah Persekutuan, saya berharap YB Datuk Seri Shahidan Kassim menjemput Ahli Parlimen Kuala Lumpur untuk menyertai mesyuarat MKN Wilayah Persekutuan, supaya kami boleh menjadi perantara atau “jambatan” di antara MKN dengan rakyat di peringkat akar umbi dan sektor perniagaan di Kuala Lumpur.

6) Saya berharap YB Datuk Seri Shahidan Kassim boleh memberi kuasa kepada Ahli Parlimen Kuala Lumpur untuk melantik anggota dalam Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di zon-zon di bawah kawasan Parlimen kami masing-masing, supaya MPP boleh mengadakan kerjasama yang erat dengan pusat khidmat Ahli Parlimen untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Bagi Teresa, Shahidan yang merupakan ahli politik yang berpengalaman yang pernah pegang jawatan bekas Menteri Besar Perlis dan bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri.

“Bila YB Datuk Seri Shahidan tidak pegang apa-apa jawatan di kerajaan pusat, beliau adalah kaki bising merangkap kaki gaduh di Dewan Rakyat.

“Beliau suka berbahas dalam semua rang undang-undang dengan mengulangi poin yang sama untuk menghentam parti pembangkang. Selain itu, beliau memang suka mengganggu Ahli Parlimen parti pembangkang semasa kami berucap di Dewan Rakyat.

“Saya selalu menghadapi gangguan dan cabaran daripada beliau bila saya berucap membentangkan masalah dan isu Kuala Lumpur di Dewan Rakyat.

“Saya gembira beliau dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dan beliau harus mendengar pandangan Ahli Parlimen Kuala Lumpur secara serius demi mentadbir ibu negara Malaysia dengan lebih berkesan,” kata Teresa dalam kenyataan beliau.

Beliau juga yakin Shahidan yang pernah memegang jawatan Menteri Besar Negeri Perlis akan fasih dengan sistem pentadbiran di peringkat negeri.

“Saya berharap beliau boleh mentadbir Kuala Lumpur sama seperti cara beliau mengetuai kerajaan negeri, dan melayan Ahli Parlimen Kuala Lumpur seperti Exco kerajaan negeri dengan mengadakan mesyuarat berkala dan Kerjasama dengan kami.

“Kerjasama erat di antara Menteri Wilayah Persekutuan dengan Ahli Parlimen Kuala Lumpur bukan sahaja dapat mengurangkan konflik secara terbuka di antara Ahli Parlimen dengan Menteri Wilayah Persekutuan, tetapi kerjasama di antara pihak Kementerian Wilayah Persekutan dan DBKL dengan wakil rakyat akan melicinkan pentadbiran kerajaan di Kuala Lumpur di samping mewujudkan keharmonian di dalam masyarakat Kuala Lumpur,” katanya.