6 hilang dalam insiden dua pesawat marin AS bertembung sebelum terhempas di pantai barat Jepun

6 hilang dalam insiden dua pesawat marin AS bertembung sebelum terhempas di pantai barat Jepun

Sebuah pesawat pejuang F/A-18 dan sebuah pesawat tangki KC-130 milik pasukan Marin Amerika Syarikat (AS) bertembung sebelum terhempas berhampiran Cape Muroto di pantai barat Jepun pada awal pagi Khamis, dengan enam daripada tujuh anggota kru masih hilang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Jepun dan Marin AS.

Menurut para pegawai, terdapat dua anggota kru di atas pesawat pejuang dan lima anggota kru di atas pesawat tangki ketika nahas itu berlaku pada kira-kira 1.40 pagi waktu tempatan.

Menurut Kementerian Pertahanan Jepun, seorang anggota kru berjaya diselamatkan oleh Angkatan Pertahanan Diri Jepun (JSDF).

Anggota kru yang terselamat telah dibawa ke Stesen Udara Kor Marin Iwakuni barat Jepun, kata pasukan Marin manakala seorang pegawai Jepun menyebut mangsa kini berada dalam keadaan stabil.

Kementerian itu berkata kedua-dua pesawat, yang berpangkalan di Stesen Udara Kor Marin Iwakuni, sedang menjalani satu operasi latihan rutin apabila nahas berlaku kira-kira 100 kilometer di selatan Cape Muroto yang terletak dalam Wilayah Kochi.

Sebuah pesawat mencari dan menyelamat JSDF segera dihantar untuk membantu usaha-usaha menyelamat manakala beberapa pesawat serta kapal lain angkatan itu turut mencari mangsa yang terselamat di kawasan nahas, menurut Marin.

Kementerian Pertahanan Jepun kini berusaha mendapatkan lebih banyak butiran daripada tentera AS di Jepun berkaitan nahas itu, yang sedang disiasat.

Bulan lepas, sebuah lagi pesawat pejuang F/A-18 milik kapal pengangkut nuklear USS Ronald Reagan terhempas ke dalam Lautan Pasifik di perairan barat daya Pulau Kita Daitojima, kira-kira 290 kilometer dari Okinawa, disebabkan isu-isu mekanikal.

Pada 19 Okt, sebuah helikopter Tentera Laut AS MH-60 Seahawk terhempas di atas dek USS Ronald Reagan semasa operasi rutin.

Nahas terbabit berlaku selang sebulan antara satu sama lain dan mempunyai kaitan dengan kapal pengangkut yang sama, dan ini telah membimbangkan kerajaan Jepun yang menyatakan bahawa ia akan meminta maklumat mengenai nahas itu susulan kebimbangan keselamatan serta ketakutan penduduk setempat.

Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga ketika itu berkata kesemua nahas “yang membabitkan tentera AS membimbangkan penduduk di kawasan itu dan ia tidak seharusnya berlaku.”

Jurucakap kerajaan Jepun ketika itu berjanji akan meminta AS menyediakan maklumat yang berkaitan dan memastikan pengurusan keselamatan mutlak.

— BERNAMA