Malaysia Dateline

6 lagi kes kluster Sivagangga hari ini

Sebanyak enam kes baharu dikesan dalam kluster PUI Sivagangga hari ini dengan lima daripadanya melibatkan sebuah keluarga berusia lima hingga 60 tahun.

Keluarga terbabit iaitu kes ke-9033, 9034, 9035, 9036 dan 9037 di Kayangan, Kulim kesemuanya tidak bergejala dan mempunyai sejarah perjalanan ke Kampung Pida.

“Punca jangkitan dalam keluarga tersebut adalah masih di dalam siasatan. Keenam-enam kes ini merupakan kes-kes generasi kedua dalam Kluster PUI Sivagangga,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Seorang lagi kes ke-9032 berusia 37 tahun di Jitra, Kubang Pasu mempunyai kontak rapat kepada ahli keluarganya yang pernah mengunjungi kedai makan Nasi Kandar Saleh di Pekan Napoh.

“Kes mula mengalami gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos 2020. Kes kemudiannya dikesan positif Covid-19 pada 5 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Ahli keluarga tersebut telah disaring untuk Covid-19 dan masih menunggu keputusan,” katanya.

Menurutnya, seramai 2,351 orang telah disaring dalam kluster Sivagangga dengan 30 kes dikesan positif Covid-19 manakala 1,617 negatif dan 704 masih menunggu keputusan.

Enam kes dalam kluster PUI Sivagangga hari ini adalah antara 15 kes baharu.

Daripada jumlah kes hari ini, 10 daripadanya kes penularan tempatan manakala selebihnya adalah kes import.

“Lima kes import tersebut adalah dari Filipina iaitu empat kes dengan tiga kes melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara di Sabah.

“Satu lagi kes import adalah daripada Afrika Selatan iaitu seorang bukan warganegara yang pulang dari Afrika Selatan.

Daripada 10 kes penularan tempatan, lapan kes adalah melibatkan warganegara Malaysia dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara,” katanya.

Selain enam kes dari kluster Sivagangga, dua lagi kes adalah dari Sabah dan Negeri Sembilan.

“Dua kes penularan tempatan melibatkan bukan warganegara pula adalah satu dari saringan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Negeri Sembilan dan satu saringan komuniti bersasar di Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memberitahu 11 kes telah pulih Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,713 kes.

“Sehingga kini terdapat dua kes positif dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Tambahnya, tiada kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kematian di negara ini kekal 125 kes iaitu bersamaan dengan 1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.