6 makna utama pengumuman calon BN semalam

Oleh BORHAN AHMAD

1. ZAHID CALON PM

Ahmad Zahid Hamidi calon PM untuk BN

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah bakal perdana menteri jika BN menang. Beliau mengawal sepenuhnya Umno dan janji bahawa Datuk Seri Ismail Sabri akan dilantik sebagai Perdana Menteri jika BN menang dalam pilihan raya kali ini sukar untuk terlaksana. Ini berikutan tindakan Zahid yang terus menamakan beliau sebagai calon di Bagan Datuk ketika desas desus beliau tidak akan bertanding kali ini.

2. PENYOKONG ISMAIL SABRI DIPANCUNG

Tiga penyokong utama Ismail Sabri dipancung oleh Zahid.

Kedudukan Ismail Sabri dalam Umno semakin lemah selepas ramai para penyokong utama beliau tidak dicalonkan dalam pilihan raya kali ini. Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Shahidan Kassim tidak tercalon dalam pengumuman malam tadi.

3. RUNDINGAN UMNO DENGAN PEMBELOT PAS BELUM SELESAI

Umno tidak menamakan calon untuk kerusi Kuala Nerus dan Tumpat malam tadi.

Umno masih belum selesai membuat rundingan dengan mereka yang dijangka belot kepada Pas. Nama calon untuk kerusi Tumpat (Datuk Che Abdullah Mat Nawi) dan Kuala Nerus (Datuk Khairudin Aman Razali) belum diumumkan lagi. Umno dijangka akan membuat keputusan selepas Pas membuat keputusan apakah kedua-duanya dicalonkan atau tidak. Namun begitu, ura-ura Nik Abduh Nik Aziz juga terlibat tertolak apabila tiada kerusi untuk beliau diperuntukkan. Namun begitu calon untuk kerusi Kepong, Jempol dan Kuala Pilah juga masih tergantung.

4. KEDUDUKAN KETUA UMNO SELANGOR BELUM JELAS

Noh Omar dan penyokongnya berjumpa dalam kesedihan semalam.

Kedudukan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar masih lagi tertanya-tanya berikutan nama beliau tidak diumumkan sebagai calon manakala kerusi Tanjung Karang masih belum di isi. Dalam masa yang sama tersebar video kesedihan di kalangan penyokong beliau.

5. APA NASIB MIC DALAM BN MASIH BELUM TENTU

MIC dilaporkan memboikot pengumuman calon BN malam tadi dan akan membuat keputusan hari kini kedudukan mereka dalam PRU-15 ini.

Apakah kedudukan MIC dalam Barisan Nasional (BN) juga masih samar-sama berikutan ketidakhadiran wakil-wakil mereka dalam pengumuman calon malam tadi. MIC dilaporkan tidak berpuashati dengan kerusi yang mereka akan tandingi dalam pilihan raya kali ini. Parti itu dijangka akan membuat keputusan dalam mesyuarat tergempar mereka pagi ini.

6. UMNO NAMAKAN RAMAI TOKOH-TOKOH AGAMA SEBAGAI CALON

Empat tokoh agama Umno mendapat tempat sebagai calon BN.

Dalam pengumuman calon BN malam tadi, nama-nama tokoh Umno yang berlatar belakangkan agama semakin mendapat tempat. Penceramah selebriti Ustaz Mohamad Kazim Elias dicalonkan di Larut, Dr Asyraf Wajdi Dusuki diberikan kerusi selamat di Grik, Datuk Dr Mashitah Ibrahim (Kuala Kedah), Datuk Seri Jamil Khir Bahrom (Jerai).