Malaysia Dateline

6 pelajar MRSM terlibat kes buli digantung sekolah serta merta

Enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli di dalam rakaman video yang tular baru-baru ini digantung persekolahan serta merta selama dua minggu.

Bagaimanapun menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan pelajar terbabit ditamatkan pengajian mereka di institusi itu.

Katanya, Mara mengambil tindakan penggantungan itu berdasarkan siasatan dalaman dan mengikut peruntukan hukuman yang ditetapkan JDM dan kes ini akan dibawa kepada Jawatankuasa Displin Rayuan Maktab.

Tambahnya, Mara mengambil serius kejadian buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu dan tindakan sewajarnya akan diambil.

“Malang bagi MRSM yang mempunyai pelajar-pelajar yang pandai, dipanggil temuduga sebagai saringan, kualiti pendidikan, ko-kurikulum dan jati diri mereka diambil kira untuk kemasukan ke MRSM.

“Tetapi masih juga berlaku lagi kejadian seumpama itu, jadi saya rasa amat kecewa kerana mereka tidak sepatutnya terdedah dengan perbuatan itu,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM sudah memanggil 10 pelajar yang terbabit dengan insiden berkenaan.

“Dalam laporan yang disediakan, enam pelajar terbabit memukul mangsa manakala empat pelajar yang berada di lokasi kejadian didapati bersubahat dan membuat provokasi. Pelajar-pelajar ini berada di Tingkatan 1 hingga tingkatan 3,” katanya dipetik Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Padang Terap, Naka di sini, hari ini.