Malaysia Dateline

6 persoalan yang perlu diselesaikan Kementerian Pendidikan

Seiring dengan perubahan arus pemodenan serta amalan budaya baharu akibat penularan pandemik Covid-19, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mewujudkan amalan pendigitalan dalam proses pengarajan dan pembalajaran (PdP).

Antaranya ialah penggunaan buku teks digital sebagai bahan rujukan murid-murid. Ia mempunyai kelebihan yang nyata apabila budaya mengurangkan tabiat penggunaan kertas dalam kehidupan.

Namun persoalan yang ingin dibangkitkan ialah, adakah semua murid mempunyai alat yang mencukupi untuk ‘mengakses’ buku teks digital ini.

Jika di bandar, keupayaan seorang murid mempunyai alat masing-masing untuk ‘mengakses’ buku teks digital adalah relevan, tetapi sebaliknya golongan murid luar bandar tidak mempunyai kelengkapan sempurna untuk mendapatkan buku teks digital ini termasuk kemudahan jalur lebar yang terhad.

Demikian juga dengan masalah yang berkaitan dengan Amalan penjarakan fizikal di asrama Institusi Pendidikan.

Pengumuman oleh YAB Perdana Menteri serta penjelasan terperinci oleh YB Senator Menteri Kanan Pendidikan tentang pembukaan institusi pendidikan melegakan seketika golongan yang prihatin isu pendidikan negara.

Namun, dalam keadaan pandemik Covid-19 masih tersebar luas, ia merisaukan pihak ibubapa yang perlu meletakkan anak mereka duduk di asrama sekolah termasuk penuntut Institusi Pendidikan Guru (IPG).

Bagaimanakah dengan keadaan fizikal asrama yang terhad serta bilangan penghuni asrama yang ramai, amalan penjarakan fizikal di asrama boleh dilaksanakan?

Yang lebih penting, bagaimanakah pihak asrama mahupun IPG ingin memastikan penghuni yang masuk ke asrama pada 20 Januari nanti bukan positif Covid-19.

Kegagalan KPM memastikan tiada seorang pun penghuni asrama adalah positif Covid-19 akan menimbulkan masalah besar buat institusi pendidikan ini. Penularan pandemik ini di asrama akan berlaku, maka institusi pendidikan kembali ditutup. Proses pembelajaran terpaksa ditangguhkan.

Kementerian juga harus menangani Isu yang berkaitan dengan Penyusunan aliran tingkatan 4. Tahun 2020, hanya lebih kurang 3 ke 4 bulan sahaja murid sekolah belajar secara bersemuka di sekolah.

Dalam tempoh itu, hanya ada beberapa ujian sahaja yang berjaya dilaksanakan untuk semua murid. PT3 juga digantikan dengan penilaian lain yang tidak sempat untuk dilaksanakan selepas KPM membuat keputusan untuk menutup semua sekolah seluruh negara.

Kesannya, murid tingkatan 3 yang masuk ke tingkatan 4 mengalami masalah memilih aliran khusus buat mereka. Guru-guru yang dipertanggungjawabkan untuk menyusun murid ini mengikut aliran yang sesuai berdasarkan atas data yang terhad amat menyukarkan mereka menjalankan tugas.

Data yang diperoleh hanyalah markah peperiksaan murid semasa tingkatan 2, gred Penilaian berasaskan bilik darjah (PBD) semasa tingkatan 3 dan 2 ujian yang diuruskan oleh Unit Bimbangan & Kaunseling (UBK) iaitu Inventori Kecerdasan Pelbagai (IKP) dan Inventori Minat Kerjaya (IMK).

Adakah dengan data yang sangat terhad serta markah penilaian yang bukan terkini mampu meletakkan murid ini di aliran yang benar-benar bersesuaian dengan potensi dan keupayaan murid-murid ini? Benar, murid boleh membuat rayuan, tetapi atas sandaran atau hujahan apa yang membolehkan satu rayuan itu akan diluluskan?

PdP Murid Berkeperluan Khas

Dalam pengumuman yang dibuat oleh pihak KPM mahupun MKN, tidak dinyatakan bagaimana kedudukan murid-murid berkeperluan khas untuk menjalankan proses pengajaran dan pembalajaran (PdP) sempena pembukaan sekolah tahun 2021.

Adakah murid berkeperluan khas ini juga akan turut sama menjalani proses pengajaran dan pembalajaran di rumah (PdPR) seperti murid biasa yang lain? Kita sedar bahawa murid berkeperluan khas ini memerlukan kemudahan dan kelengkapan yang lebih berbanding murid biasa.

Oleh itu, KPM seharusnya memandang serius akan kedudukan murid berkeperluan khas ini. Kegagalan KPM untuk merencana perancangan strategik khas buat murid berkeperluan khas pasca pembukaan sekolah 2021 ini akan menyebabkan perkembangan murid keperluan khas ini akan terbantut.

Pengalaman KPM semasa pelaksanaan PKP 2020 boleh dijadikan rujukan asas buat KPM merencana dasar baru.

Guru duka lara

Selain aspek pelaksanaan pendidikan dan murid, kebajikan guru yang menjadi nadi pendidikan negara haruslah dititik beratkan.

Setelah pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan untuk enam buah negeri mereka ini mengalami masalah yang mencabar apabila tidak boleh merentas negeri untuk berjumpa pasangan dan anak-anak mereka.

Emosi guru-guru mula merosot dengan masalah ini yang menyebabkan prestasi guru ketika mengajar juga meleset.

Pengusaha Bas Sekolah

Salah Satu komponen sokongan pendidikan sekolah tidak boleh diabaikan, dalam keadaan negara sedang mengalami krisis. Sejak sekolah ditutup, pengusaha Bas Sekolah hilang mata pencarian.

Kos mereka tanggung masih berjalan seperti sewa bas dan lain-lain. Namun, sehingga kini pengusaha Bas sekolah masih belum boleh beroperasi seperti biasa akibat hampir sebahagian murid tidak bersekolah.

Berdasarkan sinario tersebut parti AMANAH mencadangkan supaya;

Penggunaan Buku Teks Digital dilaksana berdasar klasifikasi murid. Dimana murid yang tidak mempunyai kelengkapan untuk mengakses buku teks digital termasuk kemudahan jalur lebar, akan diberikan buku teks manual.

Bagi negeri yang dikenakan PKP atau PKPB dan PKPP pembelajaran atas talian KPM perlulah berkerjasama dengan Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (KKMM) memberi kemudahan sepenuhnya jalur lebar buat semua murid yang terlibat dengan PdPR.

Dalam isu amalan penjarakan fizikal di asrama Institusi Pendidikan parti AMANAH mencadangkan supaya semua pelajar yang kembali ke asrama termasuk IPG perlu menjalani ujian saringan Covid-19 secara percuma.

Dengan langkah awal ini, ia mampu mengurangkan risiko pandemik di asrama merebak memandangkan kemudahan fizikal di asrama dan IPG adalah sangat tidak sesuai untuk penjarakan fizikal.

Dalam aspek Penyusunan aliran tingkatan 4. KPM perlu melaksanakan ujian selaras buat semua murid tingkatan 4 tahun 2021 untuk menyusun semula aliran mereka. Soalan ujian perlulah selaras untuk seluruh negara yang dibina oleh pihak KPM sendiri yang meliputi semua isi pembelajaran semasa tingkatan satu, dua dan tingkatan tiga.

P&P Murid Berkeperluan Khas

Biro Pendidikan & Dakwah AMANAH Nasional mencadangkan agar proses pengajaran dan pembalajaran (P&P) mereka dilaksanakan secara bersemuka dengan syarat semua guru dan murid telah menjalani ujian saringan Covid-19.

Sementara perkara yang berkaitan dengan Guru duka lara. Langkah yang paling utama pihak KPM perlu lakukan adalah untuk memastikan agar mereka dapat dipindahkan apabila pertukaran guru berlaku pada penggal kedua 2021 nanti.

Namun, langkah awal ialah memberikan sedikit kelonggaran buat mereka untuk merentas negeri semasa PKP ini dilaksanakan tindakan ini mampu mengurangkan gangguan emosi guru seterusnya memacu pendidikan yang lebih berkualiti.

Biro Pendidikan & Dakwah AMANAH Nasional mencadangkan agar KPM dan Kementerian Kewangan memberikan bantuan khas buat pengusaha bas sekolah meneruskan kehidupan.