6 sebab mengapa anda perlu tonton Muzika UDD

6 sebab mengapa anda perlu tonton Muzika UDD

Pengurus Pentas (SM) Azman Zeman sedang memberi taklimat kepada pelakon-pelakon dan krew TdSP MUDD dalam sesi awal latihan di kampus UPSI, Tanjung Malim.

Saya diberikan soalan di atas dan diminta menjawabnya untuk keperluan sebuah usaha promosi pementasan yang akan berlangsung di Padang Merbok KL pada 25-26 Oktober akan datang.

Maka inilah jawapan saya:
Pertama, ini sebuah pementasan teater yang berskala besar, dipentaskan di padang terbuka yang luas, terletak di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur.

Dua tahun lalu teater ini telah dipentaskan di tengah-tengah petak sawah padi di Sungai Besar, Sabak Bernam dan mendapat sambutan luar biasa. Ramai peminat teater dari seluruh negara (Johor, Pulau Pinang, Kelantan) datang menontonnya bersama kira-kira tiga ribu penonton dari kampung-kampung di sekitar itu. Pengarah Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur, Datin Sunita Rajakumar menjadi teruja dengan kejayaan teater ini lalu menjemputnya dipentaskan pula untuk festival berkenaan.

Kedua, Muzika Uda Dan Dara (MUDD) ini antara karya terbaik SN Usman Awang. Malah bagi saya inilah karya terbaik Usman Awang. Dia dikagumi dengan keindahan bahasa dalam karya-karyanya, dan MUDD adalah contoh terbaik bagi sesiapa yang ingin melihat buktinya.

Latihan silat untuk teater ini sedang giat dijalankan di Gelanggang Silat Bunga, di Rawang.

Bacalah karya ini, anda pasti akan terpesona dengan indahnya bahasa Melayu. Datanglah menonton teater ini, anda pasti akan terpesona mendengar betapa indahnya bahasa Melayu lebih-lebih lagi apabila diucapkan oleh pelakon-pelakon berbakat besar, dan apatah lagi apabila dinyanyikan dengan melodi yang terinspirasi dari kata-kata indah syahdu puisinya.

Ketiga, teater ini dipentaskan dalam gaya atau versi “Teater di Sawah Padi” (TdSP), sesuai dengan tema kehidupan masyarakat kampung petani padi yang dibawa pengarangnya dalam karya ini. TdSP pertama kali diperkenalkan Dinsman pada Ogos 2017 di Sungai Besar, dan ini ialah pementasan TdSP kali yang kedua.

Bagaimanakah TdSP akan dipentaskan di sebuah padang rumput yang tidak ada pokok padi? Idea asal pengarahnya memang hendak di“sawahpadikan”nya Padang Merbok itu. Tetapi beberapa halangan telah mencabar maksud tersebut.

Namun pasukan produksi teater ini yang aspek artistiknya dipimpin oleh Dr Lena Farida Chin (Universiti Pendidikan Sultan Idris – UPSI) mempunyai pelbagai idea bagi menangani cabaran-cabaran tersebut. Anda perlu datang menyaksikannya.

Keempat, teater ini bukan sekadar teater dalam pengertiannya yang biasa. Ia sudah melampauai pengertian biasa yang konvensional itu.

Teater ini sudah keluarkan dirinya dari batasan-batasan pentas dan panggung.

Bayangkan TdSP pertama di Sungai Besar dulu ‘pentas’nya ialah sawah padi seluas mata memandang, dan kira-kira dua ekar di hadapan penonton dipenuhi dengan patung ‘orang-orang’ dan pabila malam kelihatan puluhan api jamong bernyala-nyala sepanjang pemantasan.

Inilah teater ‘TdSP’. Tetapi tidak semua itu dapat kami buat di Padang Merbok. Selama berbulan-bulan sejak Mei kami cuba memahamkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan keperluan dan signifikannya 2-3 ekar padang itu digunakan untuk menghidupkan sawah padi menjelang pementasan MUDD. Memang satu perjuangan!

Maka anda perlulah datang menyaksikan apa-apakah yang telah berjaya dilakukan oleh tim (team) artistik yang dipimpin Lena Farida, bagi memenuhi keperluan TdSP MUDD.

Kelima, watak Utih adalah manusia Melayu istimewa ciptaan pengarang besar kita Usman Awang. MUDD menjadi sebuah teater besar dan penting dalam sejarah kesusasteraan dan kebudayaan Melayu bukanlah kerana watak Uda atau Dara, tetapi adalah kerana watak Utih di dalamnya. Ia menyimpan khazanah kebijaksanaan Melayu di dalam keperibadiannya yang unik istimewa itu.

Sejak pementasan pertama karya ini tahun 1972 saya telah melihat beberapa pelakon menghidupkan watak ini. Namun yang melekat dalam kepala saya apabila menyebut Utih ialah Rahim Razali – orang pertama yang mengarah MUDD dan melakonkan Utih.

Terbayang jelas lagi setelah 47 tahun akan kelincahannya bergerak di pentas mengucapkan dialog “akulah angin akulah sungai” itu.

Apakah ini sesuatu yang menarik hingga saya mengatakan anda perlu menonton? Bolehkah pelakon yang telah melakonkannya 47 tahun lalu melakonkannya lagi sekarang? Tidakkah jarak usianya menjadi halangan? Ya, itulah cabaran untuk seorang pelakon hebat sehebat Rahim Razali.

Saya ingin sekali melihat bagaimana watak itu mengalami transformasi gaya kebijaksanaannya bersama lakonan Rahim. Dan saya percaya anda juga teruja.

Keenam ialah muziknya. Begitu hebat sekali muzik ciptaan Basil Jayatilaka dalam pementasan 1972 itu sehingga iramanya akan hidup semula dalam memori apabila saya membaca puisi-puisi liriknya hari ini.

Namun apabila saya meminta Saidin Omar membuat ciptaan baru untuk TdSP 2017, magiknya lagu-lagu itu hampir sama.

Rahim Razali, peneraju utama teater Muzika Uda Dan Dara, arahan Dinsman.

Dan apabila saya menonton MUDD persembahan pelajar-pelajar UPSI dengan lagu-lagu ciptaan baru pada tahun lalu, lagu-lagu itupun tidak kurang menariknya. Apakah itu sebenarnya adalah inspirasi dari puisi-puisi lirik Usman Awang yang begitu indah menawan itu?

Nah, untuk pementasan Oktober ini saya menjemput pemain Cut terkemuka peringkat antarabangsa – Mohar, bersama pemain biola Pak Atan (dulu Al-Suraya), menjadi peneraju sekumpulan pemuzik berpengalaman, menyediakan muzik yang paling menarik untuk teater ini, walaupun tidak semuanya ciptaan baru.

Dan Roslan Madun akan menyumbang beberapa irama syair. Dan saya menjemput penyanyi dan gitaris dari Panggung Toktan, Riau, Indonesia, khas untuk memukau penonton dengan nyanyian Qori Islami Aris yang luarbiasa unik itu, masuk ke dalam TdSP ini. Kalau saya sering terpukau dengan nyanyian muzikalisasi puisinya, saya percaya anda juga akan terpukau.

Itu enam sebab mengapa orang perlu hadir menonton TdSP MUDD 25-26 Oktober ini. Ada beberapa sebab lagi sebenarnya. Namun walau apapun semua ini adalah dengan izin Allah jua. Saya sangat berharap Keizinan Nan Esa itu, bersama petunjuk-petunjuk (hidayah) agar teater ini membawa kita, khasnya kami yang terlibat, ke arah mendekatkan diri kepada-Nya.