Malaysia Dateline

6 sukarelawan Muda beri bantuan banjir disoal siasat

Enam sukarelawan dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor dilapor telah disoal siasat oleh pihak polis selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) banjir kerana menyerahkan bantuan secara terus kepada mangsa-mangsa banjir yang terkesan.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon maaf dan mengharapkan budi bicara pihak berkuasa untuk memberi kelonggaran kepada pasukan sukarelawan menjalankan tugas mereka.

Menurutnya, ramai mangsa yang mengadu tidak dapat bantuan yang dijanjikan dan berada dalam kelaparan sehingga Muda bertindak terus menyalurkan bantuan kepada mereka yang terkesan.

“Sebab itu kita mengambil keputusan bertindak dengan cepat untuk sampaikan bantuan ini terus ke lokasi tersebut.

“Yang saya nak tegaskan di sini, saya rasa janganlah layan sukarelawan sebagai penjenayah sampai nak panggil disoal siasatĀ oleh polis hanya kerana mereka menyampaikan bantuan terus kepada mangsa-mangsa terkesan.

“Saya harap pihak polis beri budi bicara kepada sukarelawan Muda Johor. Saya harap ada kelonggaran untuk mereka menjalankan khidmat bantu rakyat,” katanya dalam satu rakaman video yang dikongsi di Facebook.