6 tahun Parti Amanah Negara: Membulat tekad perjuangan

Oleh NASUHA RAHMAN

16 September 2021 merupakan tarikh keramat buat Parti Amanah Negara (AMANAH) kerana pada tarikh itu 6 tahun yang lalu AMANAH ditubuhkan. AMANAH itu wujud akibat pengkhianatan sebuah janji dalam parti komponen Pakatan Rakyat (PR). Atas pengkhianatan itu, mereka menubuhkan AMANAH sebagai sebuah parti alternatif kepada parti lamanya dahulu Parti Islam Semalaysia (Pas). Walaupun sukar dan berat untuk melaksanakan langkah ini, namun melihat kepada satu demi satu kehancuran pada negara ini berlaku, mendorong kesemua bekas pimpinan utama Pas itu menubuhkan AMANAH.

Setiap kali tarikh keramat ini tiba, AMANAH akan menyambutnya dengan penuh bergaya dan hebat. Sehinggalah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, menyebabkan luka itu membarah kepada semua ahli parti AMANAH. Kenikmatan sebagai parti pemerintah dirobek sekelip mata pada satu malam di Hotel Sheraton. Tambah membarah luka ahli AMANAH, apabila pandemik Covid-19 melanda, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diseluruh negara merencatkan segala pergerakan aktiviti AMANAH yang melumpuhkan terus semangat dan motivasi ahli AMANAH.

Namun, norma baharu ketika pandemik telah membetulkan semula sisi pandangan pimpinan dan ahli AMANAH. AMANAH harus menerima kenyataan bahawa kerajaan mereka telah pun ditumbangkan dan gaya serta langkah politik akan datang mestilah bersesuaian dengan norma baharu pasca pandemik. Semakin hari semakin dekat dengan Pilihan Raya Umum ke-15 yang menjadi satu pertempuran hebat setelah prinsip demokrasi itu dikhianati. Bagaimana nasib mereka yang mengkhianati mandat rakyat? Bagaimana dengan nasib pemerintah kerajaan sekarang yang dilihat gagal mengurus pandemik ini? Dan apakah nasib Pakatan Harapan khususnya AMANAH dalam PRU yang akan datang?

Kerangka besar perjuangan

AMANAH seharusnya sudah punya kerangka besar perjuangan secara zahiriah dan lahiriah setelah 6 tahun ditubuhkan. Jatuh, bangun dan jatuh semula telah cukup untuk mematangkan pemikiran untuk membina asas perjuangannya. Sehingga kini, AMANAH masih membicarakan soal apakah yang ingin dibawa secara konkrit untuk rakyat. Kehebatan AMANAH selaku aktivis kebajikan amat dihargai, malah AMANAH lah yang mendahului sikap kepeduliannya pada rakyat disaat rakyat terhimpit akibat pandemik dan PKP. Namun, cukupkah itu sahaja nilai yang AMANAH perjuangkan dalam arena politik hari ini dan akan datang?

Pengalaman AMANAH sebagai parti pemerintah selama 22 bulan menjadi pengajaran pada AMANAH apakah isi kandungan perjuangan yang ingin AMANAH laksanakan sebagai sebuah kerajaan. Jika dahulu AMANAH baru sahaja berumur 3 tahun sudah menjadi kerajaan, AMANAH tercari-cari bagaimana mahu mengisi kemenangan yang dicapai ini atau lebih baik memaknai perjuangan setelah memerintah. Kita terima. Namun setelah AMANAH dan PH dijatuhkan secara tidak bermoral, perlunya idealisme dan asas perjuangan AMANAH itu disebarluaskan dan dikembangkan sehingga menonjolkan bahawa rakyat sedang ralat apabila AMANAH tidak menjadi kerajaan lagi. Petunjuk mudah adalah dengan kebobrokan pemerintah hari ini dipacu oleh semangat dan iltizam juang AMANAH, ahli AMANAH akan bertambah hari demi hari. Namun ia seolah-olah tidak menyebelahi AMANAH berbanding parti komponen yang lain.

Apa kurangnya AMANAH berbanding PKR dan DAP? Adakah umur setiap parti menjadi indikator utama rakyat memilih wadah. Pastinya itu adalah sebahagian kecil sahaja, yang lebih besar masyarakat madani hari ini memilih parti yang berpegang pada prinsip yang jelas serta punya agenda besar untuk dibawa. Barulah mereka kekal relevan sehingga hari ini.

Gagasan Rahmatan Lil Alamin

Penulis percaya menempatkan Dr. Mujahid Yusof selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengelola urusan Agama Islam adalah satu pelung keemasan yang diberikan kepada AMANAH semasa 22 bulan memerintah. Bukanlah penulis mengatakan bahawa posisi pertahanan, pertanian, kesihatan dan wilayah tidak memberi manfaat pada AMANAH, tetapi posisi Dr. Mujahid itu banyak membolehkan AMANAH dilihat sebagai parti gerakan Islam generasi kedua yang benar-benar relevan. Kedua, kedudukan itu bukan sahaja membuka mata AMANAH bagaimana mahu membawa agenda Islam dalam bentuk perlembagaan Malaysia dan masyarakat majmuk, malah ia menjadi senjata paling ampuh merempuh parti lama nya iaitu Pas.

Walaupun begitu banyak kecaman yang muncul terhadap Dr. Mujahid, namun sekurang-kurangnya gagasan yang beliau, AMANAH dan PH bawa iaitu Islam Rahmatan Lil Alamin diperkenan sebagai gagasan agama negara oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Ini adalah satu kelebihan mutlak buat AMANAH. Oleh itu, penulis berpendapat bahawa gagasan ini perlu diteruskan sebagai kerangka besar perjuangan AMANAH dengan sedikit penambahbaikan. Antaranya merakyatkan gagasan ini agar mudah difahami oleh semua rakyat semudah PAS menjual perjuangan mereka untuk melaksanakan RUU355. Rakyat mudah faham apa yang PAS ingin bawa, jadi AMANAH juga perlu memudahkannya. Kedua, gagasan itu perlu meresapi kedalam sanubari ahli AMANAH bukan sahaja muslim tetapi juga bukan Islam. Melalui Biro Pembangunan Sumber Manusia, AMANAH menggerakkan MAMPAN sebagai modul membentuk identiti AMANAH. Oleh itu ia harus diperkasakan dan diteruskan sehingga benar-benar lahirnya para pendokong nilai Rahmatan Lil Alamin yang pastinya boleh mengaplikasikannya walaupun hanya berjawatan Ahli Majlis.

Identiti dan Ikon AMANAH

Politik Malaysia atau politik melayu tidak boleh lari dari politik identiti. Dimana sesuatu akan menjadi simbolik yang mampu menaikkan dan menjatuhkan seseorang dalam politik. Buktinya logo parti politik mampu mempengaruhi rakyat. Oleh itu, AMANAH perlu membawa sebuah identiti yang jelas dan mesra rakyat secepat yang mungkin. Kita harus dilihat berpenampilan dan berkebolehan didepan masyarakat umum. Ini perlu untuk memastikan AMANAH mampu menarik minat pengundi saluran warga tua. Tokoh-tokoh AMANAH begitu banyak, tetapi tidak ditonjolkan sebagai ikon atau gergasi politik. Benar ada yang mengatakan bahawa kita perlu lari dari politik individu, tetapi sedarkah kita bahawa jatuhnya BN dan menangnya PH adalah kerana sepakatnya dua gergasi politik iaitu Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim serta marahnya rakyat pada pemimpin no.1 BN ketika itu? ini faktor individu. AMANAH perlu menaikkan mereka dan mereka akan membawa kerangka besar yang dibincangkan diawal tadi.

AMANAH punya 5 bekas menteri persekutuan, 5 timbalan menteri persekutuan, seorang Ketua Menteri dan sejumlah bekas exco negeri. Oleh itu, merekalah yang sesuai diangkat kerana pengalaman mereka sebagai pentadbir negara dan negeri. Jika bukan ahli AMANAH yang mengangkat mereka, siapa lagi yang mahu diharapkan. Asasnya menonjolkan mereka bersama sebilangan anak muda juga diharuskan agar kesinambungan kepimpinan AMANAH sentisa ada dan hidup. Mereka ramai dibawah, tunggu masa untuk naik sahaja.

Akhirnya penulis mengharapkan setelah 6 tahun AMANAH berjuang, akan ada asas yang jelas dan konkrit apa yang ingin dibawa sama ada sebagai pembangkang mahupun kerajaan. Rakyat yang perlu diberikan kefahaman yang menyeluruh tentang perjuangan AMANAH. Nilai yang AMANAH bawa seperti AMANAH, PROGRESIF dan PEDULI itu harus dibuktikan apa manfaatnya untuk mereka. Biarlah selepas ini apabila orang melihat warna oren, orang akan teringat pada pukauan pidato Mat Sabu, air mata perjuangan Salahudin Ayub, ketenangan Dr.Mujahid, kepetahan Mahfuz Omar, kepintaran Adly Zahari, keikhlasan Datuk Hasanudin, kelantangan Dr. Mariah, keunggulan Ir. Izham dan kepimpinan masa depan pada Hasbie Muda.

Semoga AMANAH terus maju dipersada politik tanah air.

 

Penulis adalah Ketua Komunikasi AMANAH Gombak, AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor