Malaysia Dateline

6 wilayah terima semula bekalan air, 2 lagi hampir 100%

Sebanyak 99 peratus bekalan air di 998 kawasan pulih sepenuhnya setakat 9 pagi ini manakala dua wilayah lagi mencapai hampir 100 peratus.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata wilayah yang pulih ialah Hulu Selangor, Kuala Langat, Shah Alam, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.

Manakala Kuala Lumpur mencapai 99.8 peratus dan Klang 99.4 peratus.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya dipetik Selangorkini.

Agensi menasihatkan pengguna yang menerima bekalan agar menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan lain berjalan lancar.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang hentitugas.airselangor.com.

Demi keselesaan pengguna, Air Selangor menyelenggara aset kritikal Rabu lalu setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.